ad

Negara Barat makin pencilkan Israel, GSF buka mata dunia

9 Okt 2025, 7:00 AM
Negara Barat makin pencilkan Israel, GSF buka mata dunia

SHAH ALAM, 9 OKT - Israel kian terasing dan terpencil di pentas antarabangsa berikutan semakin banyak negara termasuk kalangan yang condong kepada mereka selama ini mula berpaling menyokong Palestin.

Menurut Felo Majlis Profesor Negara Profesor Dr Azmi Hassan, rejim itu kini dipandang sebagai negara kasta rendah lantaran hanya Amerika Syarikat yang masih mendukung kepentingan mereka.

Felo Majlis Profesor Negara Profesor Dr Azmi Hassan

Katanya, perubahan geopolitik berlaku rentetan penindasan berterusan Israel terhadap Palestin sejak sekian lama menyebabkan tekanan terhadap Israel meluas merentasi bidang bukan politik.

“Jika dahulu ramai (negara Barat) melihat Israel sebagai mangsa tetapi setelah menyaksikan tindakan keterlaluan Israel di Gaza sejak dua tahun lalu, persepsi dunia berubah.

"Perubahan pendirian itu banyak dipengaruhi tindakan ketenteraan Israel yang dilihat melampaui batas kemanusiaan," katanya kepada Media Selangor.

Perubahan ketara berlaku apabila negara Barat termasuk Britain, Perancis, Australia dan Kanada yang sebelum ini cenderung kepada Israel menyuarakan sokongan terbuka kepada Palestin.

Dr Azmi juga menjelaskan kecaman terhadap Israel melangkaui lingkaran politik antarabangsa berikutan isu tersebut mendapati perhatian masyarakat awam termasuk bidang sukan dan hiburan.

“Jika Majlis Olimpik Dunia boleh hukum Rusia, mengapa tidak Israel? Kita juga lihat kemungkinan lebih banyak boikot terhadap penyertaan Israel dalam acara seperti Eurovision,” katanya.

Baru-baru ini, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) didesak mengantung penyertaan Israel, malah Sepanyol mengancam menarik diri dari Piala Dunia 2026 jika Israel bertanding.

The New York/New Jersey's Fifa World Cup 2026 logo is revealed during the kickoff event in Times Square in New York City, the United States, on May 18, 2023.

Beliau juga percaya kewujudan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat sesuatu yang tidak boleh dielak lantaran sokongan kian bertambah, kini lebih 156 negara menyatakan sokongan.

“Wujudnya sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat sesuatu yang tidak boleh dielak. Saya melihat isu ini boleh diselesaikan kerana semakin tersisihnya AS dan Israel,” katanya.

Menyentuh misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF), Dr Azmi menyifatkan usaha itu mencetus gelombang protes besar-besaran di bandar utama Eropah seperti Madrid, Rom dan Naples.

Beliau percaya tekanan berterusan rakyat Eropah hasil pendedahan isu Palestin melalui misi kemanusiaan termasuk GSF mempengaruhi dasar luar banyak negara yang masih menyokong Israel.

Sebanyak 24 kapal flotila dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol berlepas ke Gaza pada 31 Ogos 2025 membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia. Foto Facebook BERNAMA

“Ini menunjukkan tekanan rakyat paling penting terhadap pemimpin negara-negara yang masih menyokong Israel," katanya sambil menolak pandangan pihak yang mempertikai kejayaan misi itu.

Beliau merujuk protes besar-besaran penduduk Itali yang mengecam Perdana Menteri Giorgia Meloni kerana lunak terhadap rejim Israel dan dan enggan mengiktiraf negara Palestin.

"Malah tindakan pemimpin Eropah yang masih menjual senjata kepada Israel, termasuk Jerman patut terus dikecam,” katanya lagi.