ad

Isu Gaza dorong perubahan landskap politik antarabangsa

9 Okt 2025, 5:31 AM
Isu Gaza dorong perubahan landskap politik antarabangsa

SHAH ALAM, 9 OKT – Perubahan sikap masyarakat global terhadap Palestin berlaku pesat berikutan kemerosotan pengaruh Amerika Syarikat (AS) baik dari sudut ekonomi mahupun keabsahan moral.

Penganalisis geopolitik Ayman Rashdan Wong berkata AS membina pengaruh antarabangsa melalui naratif untuk mempertahan sistem demokrasi selain menjadi negara kuasa ekonomi dunia.

“Israel digambarkan sebagai satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah. Tapi sejak mereka menyokong serangan kejam ke atas Gaza, imej itu runtuh,” katanya kepada Media Selangor.

Penganalisis geopolitik Ayman Rashdan Wong

Percaya krisis Gaza akan melemahkan lagi reputasi AS, beliau menjangka dunia menuju ke arah lebih multipolar dalam lima hingga 10 tahun akan datang jika isu Palestin terus berlarutan.

“Negara-negara kini mula membentuk dasar luar berdasarkan kepentingan sendiri, bukan tunduk kepada telunjuk Washington. Dunia sedang berubah dan Palestin salah satu punca,” katanya.

AS dianggap kuasa unipolar selepas berakhirnya Perang Dingin ekoran runtuhnya Kesatuan Union pada 1991. Pada masa ini, beberapa negara terutama China semakin mengimbangi pengaruh AS. 

Selain itu, Ayman Rashdan berharap masyarakat dunia terus memberi tekanan kepada Israel untuk menghenti perang dan pembunuhan beramai-ramai berbanding mengembalikan kedaulatan Palestin.

Menurut beliau, tekanan golongan aktivis, ahli politik, negara-negara Barat dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) penting ekoran 90 peratus Gaza musnah akibat serangan rejim itu.

“Kalau harap tindakan tegas seperti Israel dihukum atau kedaulatan Palestin dikembalikan, realitinya itu belum akan berlaku dalam iklim politik hari ini,” kata Ayman Rashdan Wong kepada Media Selangor.

Orang ramai mengadakan protes bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin di Gaza dan mengecam tindakan tentera Israel memintas beberapa kapal dalam Global Sumud Flotilla yang berusaha untuk sampai ke Gaza dan memecahkan sekatan laut Israel, di Berlin, Jerman, pada 2 Oktober 2025. Foto REUTERS

Beliau juga menyifatkan gelombang pengiktirafan negara Barat termasuk United Kingdom terhadap Palestin lebih bersifat simbolik berbanding membawa perubahan hakiki kepada rakyat Palestin.

“Ini bukan soal menyokong Palestin sepenuhnya. Mereka hanya iktiraf pihak berkuasa Palestin bawah Mahmoud Abbas, bukan Hamas. Hakikatnya, kerajaan ini sendiri tiada kuasa penuh ke atas Tebing Barat, apatah lagi Gaza,” katanya.

Ayman Rashdan menjelaskan pengiktirafan tersebut sebagai usaha mengekal imej politik di mata rakyat negara masing-masing susulan tekanan awam yang kian memuncak.

Ahli Majlis Perundangan Palestin Ziad Abu-Amr bercakap dalam mesyuarat untuk menangani situasi di Timur Tengah termasuk persoalan Palestin di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat pada 18 April 2024. Foto REUTERS

Katanya, isu penindasan Israel terhadap Palestin yang mulai reda kembali panas berikutan serangan pada 7 Oktober 2023 seterusnya mengembalikan tumpuan dunia kepada nasib Palestin.

"Selepas peristiwa itu dan serangan balas Israel yang ganas, dunia sekali lagi memberi tumpuan kepada Palestin,” katanya yang percaya gelombang itu antara matlamat serangan Hamas.

Mengulas ketiadaan penyelesaian konkrit meskipun rundingan dan inisiatif damai pernah dibuat, Ayman menegaskan kegagalan tersebut bukan berpunca daripada pihak Palestin.

“Palestin sedia kompromi sejak 1988 apabila (Almarhum Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin atau PLO) Yasser Arafat menerima penyelesaian dua negara dan menandatangani Perjanjian Oslo,” katanya.

Beliau memberitahu kepimpinan Israel sebaliknya dikuasai ideologi ‘Greater Israel’ yang bercita-cita untuk menguasai seluruh tanah Palestin dan sebahagian wilayah jiran.

“Dalam keadaan seperti ini, memang mustahil untuk capai solusi yang adil. Dunia hanya boleh tekan Israel untuk kembali kepada realiti tetapi usaha itu sukar.

"(Ini) kerana ketidakseimbangan kuasa antara Barat dan dunia Islam masih ketara,” katanya.

Ayman turut memuji keberanian misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang memberi tekanan kuat dan mengubah tanggapan terhadap sokongan kepada Palestin dalam kalangan negara Barat.

“Dulu, sokong Palestin dianggap ekstrem, hanya suara sayap kiri. Tapi bila tokoh global (Greta Thunberg dari Sweden) sertai, ia normalisasikan sokongan itu dan pecahkan propaganda lama,” katanya.