ad

Maritim Selangor tahan bot penumpang bawa lebih muatan di Pulau Ketam

9 Okt 2025, 2:58 AM
Maritim Selangor tahan bot penumpang bawa lebih muatan di Pulau Ketam
Maritim Selangor tahan bot penumpang bawa lebih muatan di Pulau Ketam

SHAH ALAM, 9 OKT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menahan sebuah bot penumpang yang membawa 48 orang, melebihi kapasiti dibenarkan, di kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika barat daya berhampiran Pulau Ketam, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan bot itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam pada 1.55 tengah hari mengenai sebuah bot yang membawa penumpang berlebihan di jeti penumpang Pulau Ketam.

Beliau berkata bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda APMM digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan bot berkenaan tidak lama kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tiga lelaki warga tempatan, terdiri daripada seorang nakhoda berusia 63 tahun serta dua kru masing-masing berusia 33 dan 59 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa 48 penumpang, melebihi had dibenarkan iaitu 12 orang seperti yang ditetapkan dalam lesen sah operasinya. Ia merupakan kesalahan serius kerana boleh mengancam keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata bot penumpang bersama tiga kru itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, mayat seorang lelaki warga China ditemukan berapung pada 8.20 pagi semalam, di kedudukan 1 batu nautika barat Pantai Acheh, Pulau Indah.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Luo Deliang, 54, dilaporkan hilang pada 12.30 tengah malam, 6 Okt lepas (Isnin), dan merupakan kru kapal korek pasir MV DARRUN 88. Mayatnya ditemukan terapung kira-kira 50 meter dari kapal yang bersauh itu.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Peninsular Sailing Club pada 9.10 pagi semalam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA