ad

Hamas setuju fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza

9 Okt 2025, 1:21 AM
Hamas setuju fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza

ISTANBUL, 9 OKT: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada awal Khamis mengumumkan bahawa mereka bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sambil menghargai usaha beliau bersama Türkiye, Qatar dan Mesir, lapor Agensi Anadolu.

“Hamas mengumumkan bahawa satu persetujuan telah dicapai bagi menamatkan perang di Gaza, pengunduran pasukan penceroboh, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan di aplikasi Telegram.

“Kami amat menghargai usaha saudara-saudara kami sebagai pengantara di Qatar, Mesir dan Türkiye. Kami juga mengiktiraf usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang bertujuan mencapai penamatan muktamad peperangan dan pengunduran sepenuhnya pasukan pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menyeru negara penjamin perjanjian gencatan senjata, negara-negara Arab dan Islam serta masyarakat antarabangsa termasuk Trump supaya menekan Israel agar melaksanakan tanggungjawab seperti yang dipersetujui.

“Kami menegaskan bahawa pengorbanan rakyat kami tidak akan sia-sia, kami akan kekal berpegang pada janji, dan tidak akan mengorbankan hak kebangsaan kami seperti hak untuk kebebasan, kemerdekaan dan menentukan nasib sendiri,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan Hamas itu dikeluarkan sejurus selepas Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani fasa pertama pelan damai Gaza yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah meragut hampir 67,200 nyawa rakyat Palestin di wilayah Gaza — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak — serta menyebabkan kawasan itu tidak lagi sesuai didiami.

— BERNAMA