KUALA LUMPUR, 8 OKT: Program Pemecut Berkembar Selangor terus menjadi platform penting membantu usahawan tempatan memperkukuh strategi dan mengembangkan jenama ke peringkat lebih tinggi.
Jenama churros tempatan, Orked D’Churros, merancang membuka 270 lagi cawangan di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memperluas rangkaian perniagaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif ODC Food Industries Sdn Bhd, Fikri Arif Ishak, berkata kejayaan syarikat itu muncul antara 12 pemenang Selangor Twin Accelerator Programme 2025 menjadi suntikan semangat baharu untuk terus berkembang. Ketika ini, Orked D’Churros sudah memiliki 230 cawangan di seluruh negara.
Menurutnya, sepanjang 12 minggu bimbingan intensif melalui kohort Retail-X di bawah program pemecut berkembar itu, banyak ilmu dan strategi baharu diperoleh.

“Saya sangat teruja dengan peluang yang diberikan. Retail-X banyak membantu dalam memperkukuh ilmu perniagaan, terutama aspek pemasaran, pengurusan pelanggan dan hala tuju jangka panjang syarikat,” katanya selepas majlis penyampaian anugerah yang disempurnakan EXCO Pelaburan, Ng Sze Han, hari ini.
Beliau berkata sebelum menyertai program itu, operasi syarikat lebih tertumpu kepada pengeluaran dan operasi harian. Namun, selepas mengikuti bimbingan tersebut, pasukannya kini lebih bersedia menghadapi cabaran pembangunan perniagaan secara menyeluruh.
“Walaupun tempohnya hanya 12 minggu, impaknya sangat besar terhadap struktur operasi dan strategi jualan kami. Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah membuka lebih banyak peluang pertumbuhan baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mojomore (M) Sdn Bhd, Tan Wei Yi, berkata kemenangan mereka juga amat bermakna selepas melalui pelbagai cabaran dalam memperkenalkan konsep kitar semula kreatif kepada pasaran tempatan.
Menurutnya, pengiktirafan itu membuka ruang lebih luas untuk mengembangkan perniagaan berasaskan produk hiasan rumah dan barangan gaya hidup daripada logam kitar semula, selaras dengan konsep kelestarian.
“Saya sangat gembira kerana usaha selama empat tahun akhirnya diiktiraf. Produk Mojomore kini dipasarkan melalui platform dalam talian seperti Shopee, Lazada, TikTok dan Mojomore.com, selain turut dijual di pasar raya besar,” katanya.
Terdahulu, Sze Han menyampaikan anugerah kepada 12 syarikat terbaik yang dinobatkan sebagai pemenang Selangor Twin Accelerator Programme 2025 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Program itu merupakan inisiatif dua hala yang bertujuan mengembangkan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui dua komponen utama — Program Pecutan Teknologi Mendalam Selangor (Deep-X) dan Program Pecutan Teknologi Runcit Selangor (Retail-X).
Inisiatif berkenaan membantu usahawan berpotensi tinggi mengasah kebolehan dan bersaing di pasaran global, sejajar dengan aspirasi Selangor sebagai hab ekonomi dinamik rantau ini.