ad

Reformasi perumahan awam antara agenda KPKT dalam RMK13

8 Okt 2025, 12:30 PM
Reformasi perumahan awam antara agenda KPKT dalam RMK13
Reformasi perumahan awam antara agenda KPKT dalam RMK13
Reformasi perumahan awam antara agenda KPKT dalam RMK13

TAWAU, 8 OKT: Reformasi perumahan awam antara agenda Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menterinya Nga Kor Ming berkata tiada lagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) tetapi akan digantikan dengan projek baharu di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) bagi menyediakan perumahan berkualiti untuk golongan berpendapatan rendah.

"Malaysia dinobatkan antara pemaju berjaya merangkul pingat emas di FIABCI World Prix d'Excellence World Award, iaitu rumah mampu milik terbaik di dunia, sudah dua tahun berturut-turut Malaysia dinobatkan projek rumah mampu milik terbaik di dunia, antaranya satu projek di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Memang dalam rancangan kita, satu projek PRR terbaik di dunia dilaksanakan, misalnya PRR di Sabah yang boleh menang anugerah, Sabah kesayangan kita, itu kita akan kaji di bawah RMK13," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek Taman Awam Pelita sempena siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT di sini hari ini.

Nga berkata Sabah negeri yang memiliki paling banyak PPR di Malaysia dengan 39 PPR dan terdapat projek yang berlarutan sejak RMK8 tetapi berjaya diselesaikan semasa kerajaan MADANI memerintah, iaitu PPR Kiansom yang dibina sejak 2000 dan siap pada tahun ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya antara lain menekankan mengenai peningkatan elaun pasukan bomba sukarelawan sebanyak RM10,000 dalam RMK13.

"Terdapat 367 pasukan bomba sukarelawan di Malaysia, kita telah minta Kementerian Kewangan pada belanjawan Jumaat ini, sekiranya semua berjalan lancar, tahun depan kita nak tingkatkan elaun, dulu RM1,500, tahun depan kepada RM10,000 satu pasukan,” katanya.