KUALA LUMPUR, 8 OKT: Program Pemecut Berkembar Selangor 2025 memperkukuh daya tahan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus meningkatkan keupayaan daya saing mereka sehingga ke pasaran global.
EXCO pelaburan berkata program yang melibatkan dua kohort utama iaitu Program Pecutan Teknologi Runcit Selangor (Retail-X) dan Program Pecutan Teknologi Mendalam Selangor (Deep-X) memberi fokus kepada inovasi dalam bidang runcit, teknologi mendalam, serta penyelesaian digital berimpak tinggi.
"Melihat PKS serta syarikat pemula tempatan kita daripada kedua-dua kohort di pentas ini, membuktikan betapa kukuhnya aliran syarikat yang sedang kita bina dan bersedia untuk berkembang dan bersaing di peringkat nasional dan global.
“Tahun ini, daripada 338 permohonan diterima, hanya 24 pasukan terbaik berjaya mara sebagai finalis, mencerminkan tahap persaingan dan kualiti yang semakin tinggi dalam ekosistem syarikat pemula,” kata Ng Sze Han ketika berucap pada program berkenaan, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan anugerah kepada 12 syarikat terbaik Program pemecut berkembar Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Selain itu, dua syarikat turut menerima anugerah khas dalam majlis berkenaan.
Sze Han menambah, program berkenaan membantu perusahaan mengatasi pelbagai cabaran semasa termasuk peningkatan kos pemasaran digital, keperluan integrasi teknikal serta jangkaan pelanggan yang semakin tinggi.
“Program ini bukan hanya menyelesaikan cabaran semasa, tetapi turut mempersiapkan peserta menghadapi perubahan masa depan, peralihan era yang bakal mengubah cara syarikat memahami pelanggan mereka,” katanya.

Program Pemecut Berkembar Selangor 2025 merupakan inisiatif dua hala bertujuan untuk mengembangkan syarikat pemula dan PKS tempatan.
Inisiatif ini terdiri daripada Deep-X dan Retail-X, dibangunkan bagi membantu usahawan berpotensi tinggi mengasah kebolehan untuk masa depan sekaligus berkembang dalam pasaran global.