ad

Retail-X, Deep-X tarik perhatian usahawan, buka peluang teroka pasaran global

8 Okt 2025, 10:00 AM
Retail-X, Deep-X tarik perhatian usahawan, buka peluang teroka pasaran global
Retail-X, Deep-X tarik perhatian usahawan, buka peluang teroka pasaran global
Retail-X, Deep-X tarik perhatian usahawan, buka peluang teroka pasaran global

SHAH ALAM, 8 OKT: Program pemecut berkembar Retail-X dan Deep-X anjuran Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menarik minat golongan usahawan tempatan yang mahu mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata kedua-dua program itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta meliputi aspek pengurusan produk, strategi pemasaran, penjenamaan serta penggunaan data pengguna asas secara efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Program ini membolehkan peserta yang terpilih ke peringkat akhir mengikuti kursus khas secara dalam talian mengikut industri masing-masing — Retail-X untuk sektor peruncitan digital, manakala Deep-X bagi bidang teknologi seperti semikonduktor dan bioteknologi.

“Pemenang berpeluang meneroka pasaran luar negara serta menyertai program alumni yang membuka ruang jaringan bersama pelabur dan peluang niaga baharu,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui ketika menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Menurut Yong, sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan dengan lebih 300 penyertaan diterima termasuk usahawan luar Selangor.

“Program ini semakin mendapat tempat kerana manfaatnya yang menyeluruh dan menjadi satu-satunya program lengkap serta komprehensif bagi menyokong ekosistem pembangunan perniagaan,” ujarnya.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkenan melawat pameran selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Retail-X menawarkan ganjaran dan sokongan bernilai sehingga RM300,000, memberi tumpuan kepada transformasi digital perniagaan runcit melalui latihan intensif dalam pemasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengurusan inventori pintar, strategi omni-saluran serta peningkatan pengalaman pelanggan.

Peserta turut mendapat bimbingan terus daripada pakar industri dan wakil syarikat ternama seperti AEON, RHL Ventures, Carsome, Shopline, Signature Market, Mystartr, Ata Plus, F&N dan The Lego Group.