ad

Selangor teroka sektor rel dan sains hayat, pemacu ekonomi masa depan - MB

8 Okt 2025, 11:00 AM
Selangor teroka sektor rel dan sains hayat, pemacu ekonomi masa depan - MB
Selangor teroka sektor rel dan sains hayat, pemacu ekonomi masa depan - MB
Selangor teroka sektor rel dan sains hayat, pemacu ekonomi masa depan - MB
Selangor teroka sektor rel dan sains hayat, pemacu ekonomi masa depan - MB

SHAH ALAM, 8 OKT: Selangor kini bersiap sedia meneroka dua sektor strategik baharu, rel dan sains hayat sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, kedua-dua sektor tersebut berpotensi besar menyumbang kepada pembangunan jangka panjang negeri, seiring usaha Selangor memperkukuh asas ekonomi berteknologi tinggi dan berdaya saing.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 ke-9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Untuk masa hadapan, kita berhasrat membuka lembaran baharu dalam sektor rel dan sains hayat.

“Kedua-dua bidang ini perlu diberi tumpuan oleh Selangor, sebab pertama untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat, dan satu lagi bagi mempersiapkan diri menghadapi kehidupan sebagai sebuah masyarakat yang semakin meningkat usia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ketika majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Amirudin turut menegaskan bahawa Selangor tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya perlu terus meneroka bidang baharu yang mampu menjamin kemampanan ekonomi negeri.

Beliau berkata hala tuju Selangor kekal berasaskan pembangunan ekonomi berteknologi tinggi yang kini digerakkan melalui projek utama seperti Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Taman Aero Selangor, yang akan dibangunkan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Taman Aero Selangor disasarkan menjadi hab serantau bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta logistik kargo sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pusat ekonomi dan inovasi utama di rantau ini,” ujarnya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melakukan gimik perasmian Selangor Agenda For Green Economy (SAGE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 ke-9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2025. Turut bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (dua, kanan) dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (dua, kiri). Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melancarkan Agenda Ekonomi Hijau Selangor (SAGE), satu rangka kerja komprehensif tiga jilid yang merangkumi tenaga bersih, ekonomi kitaran, kecekapan tenaga dan mobiliti hijau.

Baginda turut melancarkan inisiatif Speed Selangor, dasar baharu yang bertujuan mempercepat dan memudah cara proses kelulusan pelaburan di semua pihak berkuasa tempatan, dengan sasaran mengurangkan tempoh semakan daripada tiga setengah bulan kepada hanya sembilan hari.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan melakukan gimik perasmian Speed Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 ke-9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2025. Turut bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (dua, kanan) dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (dua, kiri). Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pelancaran tersebut turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Dato’ Saipolyazan M Yusop.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pada awal majlis, Amirudin turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Air Lestari Sdn Bhd (ALSB), Heliosel, dan SmartSel, yang diwakili oleh MBI dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan sesi pertukaran Memoranfum Persefahaman (MoU) di antara SMARTSEL yabg diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato' Saipolyazan M Yusop dan Presiden Federation Of Malaysian Manufactures (FMM) Tan Sri Dato' Soh Thian Lai smepena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 ke-9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2025. Turut bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR