ad

Kapal ke Gaza dipintas Israel lebih awal

8 Okt 2025, 9:11 AM
Kapal ke Gaza dipintas Israel lebih awal

SHAH ALAM, 8 OKT: Jarak pintasan dilakukan tentera Israel terhadap kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dilakukan lebih awal berbanding biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata pintasan yang dilakukan semalam pada jarak 120 batu nautika berbanding kebiasaan 100 batu nautika.

“Kita tidak menjangka pintasan dilakukan lebih awal sebab sebelum ini 100 batu nautika tetapi semalam jauh lagi daripada kawasan selalu dipintas.

“Sebelum waktu pintasan delegasi ada kongsikan terdapat dron sahaja. Selain itu, mereka maklumkan terdapat kapal tetapi tidak boleh ‘monitor’ kehadirannya,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Tambahnya lagi, pihaknya telah memaklumkan kepada peguam supaya berada di pelabuhan bagi menunggu delegasi yang ditahan tiba.

“Selalunya apabila dipintas kita serahkan bot sepenuhnya tetapi tidak akan bantu. Oleh itu, peguam dalam Israel sudah maklum dan akan tunggu di pelabuhan.

“Buat masa ini, tidak dapat berhubung dengan sesiapa… ia ambil masa 24 jam paling tidak 15 jam untuk tiba ke pelabuhan,” katanya.

Sebelum ini, kapal Conscience dan Umm Saad yang membawa delegasi Malaysia menyertai misi kemanusiaan FFC ke Gaza terputus hubungan kira-kira jam 10.03 pagi waktu tempatan.