CYBERJAYA, 1 OGOS: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) berharap Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dapat memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam industri pengangkutan autonomi yang semakin berkembang, khususnya dalam bidang reka bentuk cip litar bersepadu (IC), integrasi sistem dan perisian pemetaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan syarikat Malaysia dapat memanfaatkan peluang yang bakal diwujudkan menerusi projek infrastruktur pengangkutan utama, termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurutnya, pembangunan sektor pengangkutan akan menjadi antara fokus utama dalam RS-2.
"Fokus kami adalah sektor pengangkutan. Misi negeri jelas bergerak ke arah itu dengan pelaksanaan ECRL dan projek-projek lain," katanya kepada media selepas pelancaran Pusat Operasi Jarak Jauh Kenderaan Autonomi pertama Malaysia di Coplace 9, Cyberview, semalam.

Kai Ping berkata SIDEC mahu RS-2 menggalakkan penyertaan lebih besar syarikat tempatan dalam rantaian nilai teknologi autonomi, khususnya dalam tiga bidang utama.
Katanya, bidang pertama ialah reka bentuk cip IC, diikuti integrasi sistem, manakala satu lagi sektor yang dijangka berkembang pesat ialah pembangunan perisian pemetaan termasuk teknologi pemetaan dalaman bangunan bagi meningkatkan ketepatan sistem autonomi.
"Apa yang kami mahu galakkan ialah syarikat tempatan mengambil bahagian dalam reka bentuk cip IC, integrasi sistem dan pembangunan perisian pemetaan termasuk pemetaan dalaman bangunan yang mampu meningkatkan ketepatan sistem," katanya.
Beliau berkata Asia Tenggara menawarkan peluang besar kepada syarikat Malaysia membangunkan teknologi autonomi yang disesuaikan dengan keperluan tempatan kerana keadaan operasi di rantau ini berbeza daripada negara lain.
Menurutnya, faktor seperti penggunaan kenderaan pemanduan sebelah kanan, keadaan jalan, iklim lembap serta corak pemanduan di rantau ini mewujudkan keperluan terhadap penyelesaian teknologi yang dibangunkan mengikut persekitaran setempat.

"Disebabkan faktor penyetempatan, teknologi ini perlu dibangunkan mengikut keperluan Asia Tenggara seperti penggunaan kenderaan pemanduan sebelah kanan, keadaan jalan dan cara pemanduan kita. Ini membuka banyak peluang kepada syarikat tempatan," katanya.
Kai Ping berkata semua keutamaan itu merupakan antara cadangan utama yang dikemukakan SIDEC untuk dimasukkan dalam RS-2.
"Inilah cadangan yang SIDEC kemukakan dalam RS-2, iaitu bagaimana kita dapat mengambil bahagian dalam kebangkitan industri pengangkutan di negeri ini," katanya.








