ad

MB: Selepas 10 tahun SIBS kini dikenali pelabur, pemain industri

8 Okt 2025, 9:00 AM
MB: Selepas 10 tahun SIBS kini dikenali pelabur, pemain industri
MB: Selepas 10 tahun SIBS kini dikenali pelabur, pemain industri
MB: Selepas 10 tahun SIBS kini dikenali pelabur, pemain industri

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) menjadi satu nama yang sangat dikenali dalam kalangan pemain industri, setelah berkembang pesat daripada permulaan yang sederhana.

Dato' Menteri Besar berkata bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, tahun ini SIBS membawa makna yang lebih besar dalam memperkukuh visi Selangor sebagai pintu masuk utama ke ASEAN.

“Ketika kami memperkenalkan SIBS 10 tahun lalu, pada tahun 2015, reaksi yang kami terima adalah - ‘Apa itu SIBS?’

“Hari ini, selepas menerima 312,187 pengunjung sepanjang 10 tahun ini, apabila disebut tentang SIBS, maklum balasnya bukan lagi ‘apa’, tetapi ‘bila?’

"Ini membuktikan SIBS kini sudah menjadi satu nama yang dikenali dalam kalangan pelabur dan pemilik perniagaan," kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ketika majlis perasmian SIBS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Amirudin menambah SIBS kini berada dalam kedudukan paling penting, merujuk kepada perubahan pesat geopolitik serta susunan semula ekonomi global yang mentakrifkan semula perdagangan, kuasa, dan kerjasama perniagaan merentasi rantau.

Menurutnya, perkara ini amat penting memandangkan dunia sedang beralih daripada struktur unipolar yang didominasi Amerika Syarikat kepada satu susunan dunia baharu dengan kemunculan ASEAN serta negara seperti China, India, Brazil dan Rusia.

“Hari ini, Selangor mempunyai kira-kira 7.3 juta penduduk merentasi sembilan daerah. Namun, dengan melabur di Selangor, saya menyeru anda semua meluaskan pandangan kepada peluang yang lebih besar dengan melihat pasaran Asia Tenggara yang merangkumi 680 juta penduduk.

“… Kami adalah rumah kepada pelabuhan ke-10 tersibuk di dunia iaitu Pelabuhan Klang, dua terminal lapangan terbang utama di KLIA, serta lapangan terbang serantau khusus untuk perniagaan dan jet peribadi di Subang, yang akan terus berkembang di bawah Pelan Pemulihan Lapangan Terbang Subang.

“Rangkaian hubungan kami turut diperkukuh dengan pelbagai lebuh raya yang menghubungkan pelabuhan dan lapangan terbang ke taman-taman perniagaan di Lembah Klang serta Pembangunan Serantau Bersepadu di Selatan Selangor (IDRISS), wilayah pembangunan serantau baharu yang berkeluasan sehingga 40,000 ekar di Sepang dan Kuala Langat,” katanya.

Amirudin juga berkata Selangor merupakan negeri yang menempatkan jumlah universiti terbanyak di negara ini, dan memberi jaminan kepada pelabur serta pemilik perniagaan bahawa sentiasa wujud bekalan graduan yang berterusan untuk mengisi peluang pekerjaan baharu.

Sidang tahunan yang dianjur sejak 2015 memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), yang sebelum ini dikenali Pameran Udara Selangor.

Tahun lalu, SIBS yang julung kali diadakan secara dua siri iaitu pada Julai dan Oktober, merekodkan nilai transaksi RM13.86 bilion. Pencapaian membanggakan itu melebihi sekali ganda dari 2023 yang memperoleh RM6.12 bilion.