SHAH ALAM, 8 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melancarkan mesin kitar semula air sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap sumber sedia ada.
Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata, mesin Micro WRP yang dikendalikan anak syarikat Air Lestari Sdn Bhd (Air Lestari) menyasarkan sektor perkilangan bagi mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW).

“Mesin ini akan mengitar semula air kotor hasil penggunaan kilang. Sistem ini membolehkan 70 hingga 80 peratus air berkenaan dibersihkan dan seterusnya dijual semula kepada kilang.
“Usaha terbaharu ini juga berupaya mengurangkan aliran sisa kotor ke sungai selain menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG),” kata Dato’ Saipolyazan M Yusop kepada Media Selangor.
Beliau ditemui di Pavilion Selangor sempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Sementara itu, Saipolyazan berkata Pavilion MBI menghimpunkan semua anak syarikat selain menampilkan ruang galeri sebagai platform memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing.
“Antara produk dan perkhidmatan yang menjadi tarikan ialah kerangka Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA), Platform Selangor (PLATS), KDEB Waste Management serta Taman Aero Selangor,” katanya.
Sidang tahunan selama empat hari sehingga Sabtu ini menawarkan lebih 700 reruai kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa.

Dianjur sejak 2015, SIBS tahun ini memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), yang sebelum ini dikenali sebagai Pameran Udara Selangor.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berharap nilai transaksi kali ini yang menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung mampu melepasi angka RM13.86 bilion yang direkod tahun lalu.