ad
AGENDA

Tangani isu anak muda hijrah, cari kerja luar dari Sungai Besar

11 Nov 2022, 3:52 PM
Tangani isu anak muda hijrah, cari kerja luar dari Sungai Besar

SUNGAI BESAR, 11 NOV: Isu semakin ramai golongan muda berhijrah keluar dari Sungai Besar bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik mendapat perhatian Saipolyazan M Yusop.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Besar itu berkata, antara langkah akan diambil bagi mengatasi isu terbabit dengan menyediakan rantaian industri yang berpotensi untuk dimajukan.

"Kita lihat beberapa perkara kena tangani antaranya rantaian industri kerana kita tengok potensi di sini banyak seperti industri kecil dan sederhana, pelancongan, pendidikan dan sebagainya.

"Jadi kita masukkan perkara ini dalam 10 tawaran HARAPAN Sungai besar supaya dapat tawarkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya kepada Selangorkini di Parit 2, Sungai Panjang di sini, hari ini.

Di samping itu beliau juga fokus mahu meningkatkan tahap kemahiran golongan muda dalam bidang masing-masing supaya dapat memenuhi peluang pekerjaan apabila rantaian industri diwujudkan nanti.

Selain itu, beliau juga memberi perhatian kepada golongan muda yang berminat dengan perternakan dan pertanian moden.

"Anak muda di sini juga ramai yang minat menternak dan bertani hingga ada yang terlibat dalam fid lot dan sebagainya.

"Kita cuma perlu tingkatkan infrastruktur dan pertanian berteknologi supaya meningkatkan hasil dan pendapatan mereka dan cara ini kita dapat kurangkan penghijrahan belia ke bandar kerana peluang di sini dah semakin banyak," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.