ad

Kos rawatan penyakit berkaitan vape cecah RM369 juta jika tiada kawalan undang-undang

8 Okt 2025, 6:18 AM
Kos rawatan penyakit berkaitan vape cecah RM369 juta jika tiada kawalan undang-undang

SHAH ALAM, 8 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kos rawatan penyakit berkaitan penggunaan produk vape meningkat kepada RM369 juta menjelang 2030, jika kadar penggunaannya kekal pada tahap semasa.

Menurut kementerian, peningkatan ketara penggunaan vape dalam kalangan remaja dan dewasa muda bukan sahaja membimbangkan dari sudut kesihatan awam, malah memberi impak besar terhadap kos rawatan negara dalam jangka panjang.

“Berdasarkan kajian Regulatory Impact Analysis (RIA) yang dijalankan pada 2022, dianggarkan sebanyak RM244.8 juta telah dibelanjakan untuk merawat kes E-cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury (EVALI) bagi tempoh purata 12 hari kemasukan ke hospital. Jika trend penggunaan vape berterusan meningkat, jumlah ini dijangka melonjak kepada RM369 juta pada 2030,” jelas KKM ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal.

KKM turut bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghasilkan laporan NCD Prevention and Control: The Case for Investment pada 2024, yang menunjukkan pelaburan dalam intervensi kesihatan awam untuk kawalan tembakau mampu memberi pulangan tinggi kepada negara.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk program kawalan tembakau dijangka memberi pulangan RM1.21 dalam tempoh lima tahun dan meningkat kepada RM5.93 dalam tempoh 15 tahun,” tambah kementerian.

Bagi membendung penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar dan remaja, KKM melaksanakan beberapa inisiatif seperti Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK), Program JomSihat, dan Program JomQuit, yang memberi sokongan kepada individu yang ingin berhenti merokok atau vape.

KKM komited memperkukuh penguatkuasaan Akta 852 dengan kawalan lebih ketat terhadap pengiklanan, promosi, penjualan, serta larangan merokok. Cadangan pengharaman penuh terhadap vape sedang diperhalusi dan dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi kelulusan dasar.