ad

Kepulangan wira Flotilla bukan pengakhiran tapi permulaan baharu perjuangan Gaza

8 Okt 2025, 7:00 AM
Kepulangan wira Flotilla bukan pengakhiran tapi permulaan baharu perjuangan Gaza
Kepulangan wira Flotilla bukan pengakhiran tapi permulaan baharu perjuangan Gaza
Kepulangan wira Flotilla bukan pengakhiran tapi permulaan baharu perjuangan Gaza
Kepulangan wira Flotilla bukan pengakhiran tapi permulaan baharu perjuangan Gaza

SHAH ALAM, 8 OKT: Kepulangan 23 aktivis Malaysia daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam menandakan permulaan baharu perjuangan kemanusiaan negara untuk Palestin, bukannya pengakhiran misi mereka.

Bagi pereka grafik Lang Muhammad Hafiz, 40, yang tidak melepaskan peluang hadir meraikan ketibaan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) berkata rakyat Malaysia harus bersama-sama turut membantu menjayakan misi kemanusiaan ini dan bangkit mendukung pembebasan rakyat Palestin.

Lang Muhammad Hafiz. Foto NAZIHAH KHAN/MEDIA SELANGOR

"Kepulangan ini bukan titik pengakhiran tetapi merupakan titik permulaan perjuangan.

"Kita pergi atau tidak pergi, kita mampu memberikan kata-kata yang baik untuk mereka semua. Sama-sama kita bangkit mendoakan keseluruhan rakyat Palestin dibebaskan,"katanya kepada Media Selangor selepas 23 aktivis bersurai di KLIA malam tadi.

Senada dengannya Abdullah Osman, 57, yang merupakan penaung Darul Mahabbah turut menyatakan kepulangan aktivis Malaysia telah menyuntik semangat kepada rakyat Malaysia yang lain untuk memperjuangkan isu kemanusiaan rakyat Palestin.

Menurutnya, ia juga menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Mohd Abdullah Osman. Foto NAZIHAH KHAN/MEDIA SELANGOR

"Kepulangan wira-wira Malaysia yang pulang ini akan memberi semangat kepada rakyat Malaysia untuk membebaskan Palestin", kata Abdullah.

Turut menyambut kepulangan aktivis Malaysia di KLIA iaitu seorang juru solek artis, Miera Akina,b33, dengan semangat menyatakan rakyat Malaysia akan terus berjuang membebaskan rakyat Palestin.

Miera Akina. Foto NAZIHAH KHAN/MEDIA SELANGOR

"Impian kita supaya lebih ramai rakyat Malaysia akan bersama-sama menjadi sukarela dalam meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza", katanya.

Kesemua 23 aktivis GSF yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye telah disambut dengan penuh kesyukuran oleh ratusan rakyat Malaysia di KLIA.

Mereka menghadapi detik sukar dan mencemaskan apabila ditahan oleh tentera Israel sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel untuk ditahan.

Kepulangan keseluruhan aktivis Malaysia ke tanah air dengan selamat memperlihatkan keupayaan kerajaan Malaysia dalam menangani isu global secara diplomasi yang turut melibatkan rundingan bersama negara lain seperti Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat.

Sebagai kesinambungan solidariti, semua aktivis dijangka hadir bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.

Ia sebagai simbol bahawa perjuangan kemanusiaan Malaysia untuk Palestin akan terus hidup.

23 Sukarelawan Global Sumud Nusantara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 8 Oktober 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Misi GSF merupakan hasil gabungan empat pertubuhan bukan kerajaan utama dari seluruh dunia yang berganding bahu menuntut pembukaan laluan bantuan ke Gaza.

Empat gabungan berkenaan ialah Global Movement to Gaza (GMTG), yang mengetuai sokongan global memecahkan kepungan Gaza; Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Ia dianggotai wakil tunggal Asia iaitu Humanitarian Care Malaysia (MyCARE); Maghreb Sumud Flotilla berpangkalan di Afrika Utara; serta Sumud Nusantara yang melibatkan lapan negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Konvoi kemanusiaan kali ini disertai delegasi dari 44 negara membabitkan lebih 50 kapal yang membawa bantuan asas dan perubatan untuk rakyat Palestin.

Tangkap layat menunjukkan paparan langsung bot Global Sumud Flotilla belayar menuju Gaza di tengah laut, 1 Oktober 2025. Foto REUTERS

Ia disifatkan sebagai pelayaran kemanusiaan terbesar dunia, dengan penyertaan kira-kira 1,000 aktivis, doktor, pelayar dan penggiat seni antarabangsa.

Daripada jumlah itu, Malaysia menghantar 45 wakil yang terdiri daripada anggota NGO seperti Cinta Gaza Malaysia, MAPIM, dan Cinta Salam Malaysia, termasuk aktivis serta selebriti Zizi Kirana dan Ardell Aryana.

Mereka berlepas secara berperingkat dari pelabuhan di Sepanyol, Itali dan Tunisia sebelum menyertai konvoi utama menuju ke Gaza.