SHAH ALAM, 30 APRIL: Kapal dinaiki aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA yang dalam pelayaran ke Gaza dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, dilaporkan telah ditahan tentera Israel awal pagi tadi.
Perkara itu dikongsikan rakan aktivis, Dr Taufiq Mohd Razif di Threads sebentar tadi.
Semakan pada sistem Tracker Untuk Sumud Nusantara, sebanyak 15 kapal telah dipintas tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa, manakala 43 kapal masih meneruskan pelayaran.
Antara kapal yang disahkan status ‘intercepted’ adalah Al Bassa, Tantura, Yaffa, Yazur, Safad, Safsaf, Jabalia, Kafr Birim, Idna, Iqrit, Beith Lahim, Haifa, Ayn al-Zaytoun dan Al Faluja.
Terdahulu, GSF dalam kenyataan memaklumkan, bot tentera Zionis mengepung konvoi itu di perairan antarabangsa berhampiran pulau Crete Greece sekitar pukul 2 pagi tadi.
Gerakan itu memaklumkan pasukan tentera laut Israel berada di tepi kapal dan mengacukan senjata ke arah mereka yang berada di dalam.
Global Sumud Flotilla menyeru kerajaan untuk bertindak melindungi kapalnya dan mempertanggungjawabkan rejim Zionis.
Armada yang berlepas dari beberapa negara termasuk Turkiye, Sepanyol dan Itali itu melibatkan lebih 100 kapal serta kira-kira 1,000 peserta.
Ia merupakan misi kedua Global Freedom Flotilla selepas cubaan terdahulu pada September 2025 berakhir dengan serangan Israel terhadap kapal-kapal berkenaan pada Oktober tahun sama ketika berada di perairan antarabangsa, selain penahanan ratusan aktivis antarabangsa sebelum dihantar pulang.








