ad

BUDI95: Pelaksanaan lancar, hanya sedikit gangguan teknikal di stesen minyak - Fuziah

8 Okt 2025, 4:32 AM
BUDI95: Pelaksanaan lancar, hanya sedikit gangguan teknikal di stesen minyak - Fuziah
BUDI95: Pelaksanaan lancar, hanya sedikit gangguan teknikal di stesen minyak - Fuziah
BUDI95: Pelaksanaan lancar, hanya sedikit gangguan teknikal di stesen minyak - Fuziah
BUDI95: Pelaksanaan lancar, hanya sedikit gangguan teknikal di stesen minyak - Fuziah

SHAH ALAM, 8 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan pelaksanaan program subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95) berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar, kecuali beberapa gangguan teknikal kecil di stesen minyak.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pihaknya hanya menerima 34 aduan daripada pengguna sejak pelaksanaan penuh BUDI95 hujung bulan lalu, kebanyakannya melibatkan sistem tergendala atau ralat teknikal pada sistem yang dibangunkan pengendali stesen minyak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh. Foto BERNAMA

“Setakat ini kita menerima 34 aduan daripada pengguna dan mendapati puncanya ialah gangguan sementara sistem. Namun pihak stesen minyak telah bertanggungjawab menampung perbezaan harga subsidi kepada pengguna yang terjejas,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa di Parlimen, hari ini.

Fuziah menjelaskan, sekiranya sistem tergendala, pengguna masih boleh membuat semakan kelayakan subsidi di kaunter menggunakan terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disambung terus ke sistem Kementerian Kewangan (MOF).

“Melalui terminal ini, pengguna hanya perlu mengemukakan nombor kad pengenalan untuk mengesahkan kelayakan dan urusan penebusan boleh diteruskan secara manual,” jelasnya.

Beliau berkata, KPDN terus memantau pelaksanaan sistem bagi memastikan hak pengguna sebagai penerima subsidi tidak terjejas.

“Kementerian akan memastikan setiap isu teknikal ditangani segera oleh stesen minyak dan penyedia sistem supaya pelaksanaan program berjalan lancar di semua lokasi,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rakyat Malaysia menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi BUDI95, yang dilaksanakan sepenuhnya mulai 30 September lalu.

Melalui program tersebut, setiap rakyat Malaysia layak menikmati subsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala bukan warganegara dikenakan harga RM2.60 seliter bagi RON95 mulai tarikh sama.