Helah isi petrol dua kali dalam tempoh singkat bongkar kegiatan seludup

13 Mei 2026, 7:39 AM
Helah isi petrol dua kali dalam tempoh singkat bongkar kegiatan seludup

SHAH ALAM, 13 MEI: Tindakan seorang lelaki mengisi petrol sebanyak dua kali dalam tempoh kurang dua jam di stesen minyak sama mengundang padah apabila kegiatan dipercayai menyeludup bahan api berjaya dikesan penguat kuasa di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

Kegiatan menggunakan sebuah Mitsubishi Pajero itu terbongkar hasil risikan dan pemantauan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) di stesen minyak berkenaan.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata semakan mendapati kenderaan terbabit melakukan dua pengisian petrol pada hari sama iaitu sekitar jam 8.05 pagi dan 9.36 pagi.

“Serbuan terus dijalankan dan pemeriksaan lanjut pada kenderaan itu menemukan tangki yang diubah suai dengan saluran hos lebih besar daripada spesifikasi asal bagi tujuan menyimpan petrol dalam kuantiti lebih banyak.

“Pasukan penguat kuasa kemudian menyita kenderaan itu bersama kira-kira 90 liter petrol disyaki RON95, dengan dua keping resit pembelian minyak turut dirampas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM10,361.80 termasuk kenderaan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Susulan penahanan itu, beliau berkata KPDN turut menjalankan pemeriksaan terhadap stesen minyak terbabit kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan berkaitan larangan penjualan petrol RON95 secara berulang kepada kenderaan sama dalam hari yang sama.

“Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan kepada pihak berkuasa bagi memastikan subsidi kerajaan tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.