ad

RM9.6 juta diperuntuk untuk perkasa Pusat Aktiviti Warga Emas

8 Okt 2025, 3:13 AM
RM9.6 juta diperuntuk untuk perkasa Pusat Aktiviti Warga Emas

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan memperuntuk sejumlah RM9.6 juta pada tahun ini bagi memastikan kelangsungan operasi 193 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara, manakala sebanyak RM2.5 juta turut disalurkan untuk menubuhkan 25 PAWE baharu.

Inisiatif ini menjadi antara tumpuan utama dalam usaha memperkasakan kesejahteraan warga emas negara selari dengan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN).

Menurut jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat hari ini, setiap PAWE perlu memenuhi kriteria mesra warga emas termasuk penyediaan fasiliti mesra OKU, ruang riadah, peralatan senaman serta kelengkapan aktiviti harian.

“Untuk penubuhan PAWE baharu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100,000 secara one-off bagi setiap pusat. Dana ini meliputi kos pengubahsuaian premis serta pembelian peralatan seperti ICT dan mesin senaman yang sesuai untuk warga emas,” jelas kenyataan itu.

Bantuan tahunan sebanyak RM50,000 turut disediakan kepada setiap PAWE bagi menampung sebahagian kos pengurusan, penyelenggaraan kecil dan pelaksanaan aktiviti komuniti.

Langkah ini penting memandangkan populasi warga emas di Malaysia menunjukkan trend peningkatan. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa menjelang tahun 2030, hampir 15 peratus rakyat Malaysia akan berusia 60 tahun dan ke atas, menjadikan Malaysia sebagai negara tua.

PAWE berperanan sebagai pusat intervensi sosial yang menawarkan pelbagai aktiviti sihat seperti senamrobik, kelas ICT, ceramah kesihatan serta bimbingan rohani untuk mengekalkan kesejahteraan mental dan fizikal warga emas.

“Kerajaan juga menggalakkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan komuniti setempat sebagai Rakan Strategik PAWE. Sokongan ini amat penting dalam bentuk kepakaran, kemudahan, tenaga kerja mahir serta sumbangan dana bagi meluaskan keberkesanan program,” tambah kementerian itu.

Selain daripada memberi tempat untuk bersosial, PAWE juga berfungsi sebagai sistem sokongan awal dalam mencegah kesunyian melampau dan kemurungan yang sering dialami golongan berusia.

Inisiatif ini turut menjadi pelengkap kepada program sedia ada seperti i-Sayang, i-Kasih dan Skim Bantuan Warga Emas yang memberi bantuan tunai dan khidmat kebajikan kepada mereka yang kurang berkemampuan.