SEPANG, 8 OKT: Tanah terbiar di Taman Putra Perdana, Sepang kini ‘hidup semula’ apabila berjaya diubah menjadi kebun komuniti yang subur dengan pelbagai tanaman seperti kacang panjang, terung, labu air, cili kampung dan ulam-ulaman.
Inisiatif hijau ini bukan sekadar menceriakan kawasan pangsapuri kos rendah, malah membantu penduduk menjimatkan perbelanjaan dapur dan menjana pendapatan tambahan.
Projek berimpak tinggi itu dilaksanakan hasil kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dengan sokongan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Universiti Putra Malaysia (UPM), Jabatan Pertanian serta persatuan penduduk setempat.
Ahli Majlis Zon Putra Perdana, Naharanuar Ayob berkata hasil tanaman kebun bukan sahaja digunakan penduduk, malah turut dijual di restoran komuniti serta pasaran luar.

Beliau berkata, cadangan UPM menanam ulam raja turut membuka peluang baharu apabila hasilnya diproses menjadi produk inovatif seperti serbuk teh, kerepek dan kek.
“Inovasi ini menjadikan kebun komuniti lebih daripada sekadar ruang bercucuk tanam, sebaliknya berkembang sebagai projek keusahawanan kecil yang memberi nilai tambah kepada ekonomi penduduk,” katanya.
Tambahnya, sambutan penduduk amat menggalakkan, sebahagian mereka bantu mengurus kebun, manakala yang lain menyokong dengan membeli hasil tuaian.
Menurutnya, projek ini turut membuka peluang kepada suri rumah dan ibu tidak bekerja untuk menyumbang pendapatan keluarga, selain menghidupkan semula semangat kejiranan.
“Dengan usaha berterusan ini, kami yakin kebun komuniti mampu menjadi contoh terbaik kepada kawasan lain, menjadikan kejiranan lebih hijau, harmoni dan sejahtera,” katanya.