SEPANG, 8 OKT: Kepulangan 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) disambut penuh rasa syukur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam tadi.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan membawa pulang sukarelawan berkenaan membuktikan kerajaan sentiasa meletakkan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sebagai keutamaan di mana sahaja mereka berada.
“Syukur ke hadrat Allah SWT atas kepulangan 23 sukarelawan yang selamat tiba di tanah air malam ini.
“Saya turut merakam penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha dan diplomasi beliau bersama kepimpinan Mesir, Jordan dan Turkiye yang membolehkan rakyat Malaysia dibebaskan dari tahanan Israel,” katanya pada sidang media di KLIA, di sini malam tadi.
Mohamad turut menegaskan rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan pelbagai tohmahan terhadap kumpulan sukarelawan berkenaan.
Menurutnya, penyertaan mereka bukan bermotifkan politik atau provokasi, sebaliknya didorong oleh semangat kemanusiaan bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang tertindas, selain membawa mesej solidariti Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pesawat Emirates penerbangan EK342 yang membawa 23 sukarelawan GSF itu selamat mendarat pada jam 10.07 malam.
Suasana di balai ketibaan turut diselubungi semangat solidariti apabila ratusan orang awam hadir sejak petang sambil melaungkan “Allahuakbar” dan “Free Palestine!” sebagai tanda sokongan kepada wira dan wirawati negara yang menyertai misi kemanusiaan itu.