SHAH ALAM, 7 OKT: Wanita dan tiga anaknya termasuk seorang bayi yang parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini semalam masih dirawat di hospital.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata wanita berusia 38 tahun itu kini koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam selepas menjalani pembedahan limpa.
Beliau berkata anak perempuannya berusia tujuh tahun yang patah tulang kaki kanan dirawat di hospital sama dan akan menjalani pembedahan esok.
"Seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun mengalami patah tulang paha dan dirawat di Hospital Shah Alam.
“Bayi perempuan berusia lapan bulan pula dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat cedera di kepala dengan tengkorak retak serta masih memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan seorang lelaki maut manakala empat ahli keluarganya termasuk seorang bayi perempuan parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, lelaki berusia 39 tahun berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
- BERNAMA