ad

Menteri: Kenyataan FIFA serius, jejas imej negara

7 Okt 2025, 5:55 AM
Menteri: Kenyataan FIFA serius, jejas imej negara

SEPANG, 7 OKT: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memandang serius Alasan Penghakiman dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung tindakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.

Hannah berkata kenyataan FIFA dalam dokumen 19 muka surat itu sebagai serius dan menjejaskan imej negara.

Beliau berkata banyak perkara yang memerlukan penambahbaikan berdasarkan kenyataan FIFA dalam dokumen tersebut.

“Walaupun FAM telah keluarkan kenyataan mereka kata ada kesilapan teknikal, kesilapan oleh kakitangan mereka. Semua itu perlukan penambahbaikan kerana kenyataan 19 muka surat itu adalah kenyataan oleh FIFA yang sangat serius, yang menjejaskan imej negara.

“...dan saya juga faham semua peminat bola sepak tanah air semestinya marah, rasa kecewa dan mahukan penambahbaikan,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Wira dan Wirawati Para Olahraga daripada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Pada masa sama, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih dengan pendirian sama iaitu menunggu sehingga proses rayuan berakhir sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

“FAM kena habiskan proses rayuan ini, lengkapkan proses rayuan ini sebelum apa-apa kenyataan khas yang kita nak umumkan...kerana proses rayuan belum selesai.

“Selepas Grounds of Judgement saya difahamkan FAM kena mengumumkan hasrat mereka untuk merayu dalam masa tiga hari dan kemudiannya lima hari untuk memfailkan rayuan mereka,” katanya.

Sementara itu, Hannah menyeru peminat bola sepak tanah air meneruskan sokongan terhadap skuad Harimau Malaya yang akan beraksi dua perlawanan menentang Laos dalam saingan Kumpulan F, masing-masing di Vientiane pada Khamis ini dan di sini pada Selasa depan.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.