ad

FIFA sahkan dokumen tujuh pemain warisan dikemuka FAM palsu

7 Okt 2025, 6:05 AM
FIFA sahkan dokumen tujuh pemain warisan dikemuka FAM palsu

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati beberapa pemain di bawah naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menggunakan dokumen palsu bagi mengelakkan peraturan badan itu, untuk membolehkan mereka mewakili Harimau Malaya.

Menurut laporan siasatan Jawatankusa Tatatertib FIFA (Sekretariat), pihaknya menemukan senarai bukti membabitkan pemain terbabit yang bercanggah dengan dokumen dikemukakan FAM dalam prosiding bertanda FPSD-18683, FPSD-19517, FPSD-19518, FPSD-19519, FPSD-19520, FPSD-19521 and FPSD-18682.

“Hasil siasatan tersebut telah diperincikan dalam dua laporan siasatan (Investigatory Reports),” menurut kenyataan itu.

Sekretariat berkenaan juga berjaya memperoleh salinan asal sijil kelahiran nenek atau datuk kepada pemain-pemain terlibat yang menunjukkan mereka berasal dari negara luar iaitu María Belen Concepcion Martin (Santa Cruz de la Palma, Sepanyol), Carlos Rogelio Fernandez (Villa Maria Selva, Santa Fe de la Cruz, Argentina), Omar Eli Holgado Gardon (Caseros, Buenos Aires, Argentina), Concepcion Agueda Alaniz (Roldan, Argentina), Nair de Oliveira (Abre Campo, Brazil), Gregorio Irazabal y Lamiquiz (Villa de Guernica y Luno, Viscaya, Sepanyol) and Hendrik Jan Hevel (The Hague, Belanda).

Bagaimanapun, dokumen dikemukakan FAM kepada FIFA menunjukkan maklumat berbeza antaranya mendakwa Maria Belen Concepion Martin berasal dari Melaka, Carlos Rogelio Fernandez (Pulau Pinang), Omar Eli Holgado Gardon (Georgetown, Pulau Pinang), Concepcion Agueda Alaniz (Pulau Pinang), Nair de Oliveira (Johor), Gregorio Irazabal y Lamiquiz (Kuching, Sarawak) and Hendrick Jan Hevel (Mallaca Straits Settlements).

Terdahulu, FAM mengesahkan telah menerima penghakiman penuh berhubung keputusan tatatertib yang dikenakan terhadap badan induk negara itu serta tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain.

Menerusi kenyataan, FAM menegaskan semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu berkenaan sudah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi.

Menurut FAM, pihaknya memandang serius beberapa kesimpulan khususnya dakwaan bahawa pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.

FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen bulan lepas.

FIFA memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM 10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.