ad

Tiada sesi Soal Jawab PM di Parlimen hari ini, Anwar dipanggil ke Istana Negara

7 Okt 2025, 3:45 AM
Tiada sesi Soal Jawab PM di Parlimen hari ini, Anwar dipanggil ke Istana Negara

SHAH ALAM, 7 OKT: Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung hari ini tidak dapat dijalankan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipanggil ke Istana Negara pagi ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memaklumkan perkara itu sebelum meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengemukakan usul berhubung ketiadaan sesi PMQ pada hari ini.

“Pagi ini kita ada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri. Dua soalan telah dikemukakan oleh (ahli Parlimen) Paya Besar dan (ahli Parlimen) Masjid Tanah.

Namun saya difahamkan Perdana Menteri tidak dapat hadir kerana dititah Majlis Raja-Raja untuk berada di Istana Negara jam 10 pagi ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Usul berkenaan kemudian dikemukakan Azalina dan mendapat sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Johari memaklumkan, dua soalan yang sepatutnya diajukan dalam sesi PMQ oleh Dato’ Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) akan dimasukkan ke dalam sesi persidangan lain.

Shahar sebelum ini meminta penjelasan pendirian kerajaan terhadap pelan damai Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin–Israel, manakala Mas Ermieyati pula ingin mengetahui tahap persediaan kerajaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya dari segi promosi antarabangsa.

Sesi PMQ mula diperkenalkan pada 13 Februari 2023, ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 sebagai ruang bagi Perdana Menteri menjawab terus soalan daripada ahli Parlimen.