Malaysia perluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan melalui BRICS

3 Nov 2026, 3:52 PM
Malaysia perluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan melalui BRICS

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Malaysia akan terus memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan melalui kerjasama di bawah BRICS untuk mengurangkan kos transaksi serta risiko pertukaran asing.

Kementerian Kewangan berkata langkah itu juga bertujuan memperkukuh daya tahan kewangan negara terhadap kejutan luaran, selain menyediakan lebih banyak pilihan kepada perniagaan dalam menjalankan urus niaga antarabangsa.

Penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas dapat meningkatkan kecekapan pengurusan pendedahan pertukaran asing serta menyokong pembangunan pasaran pertukaran asing serantau.

"Peningkatan urus niaga dalam mata wang serantau termasuk mata wang negara-negara BRICS, juga dapat meningkatkan kecairan dan menyokong pembangunan pasaran pertukaran asing serantau, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kepada perniagaan," menurut kementerian itu dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Ia bagi menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai pembaharuan sistem kewangan antarabangsa yang diperjuangkan Malaysia melalui BRICS.

MoF juga berkata Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif bersama rakan dagang utama, termasuk kerjasama dengan China untuk memudahkan penggunaan renminbi dan ringgit dalam perdagangan dua hala.

Malaysia turut melaksanakan Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan bersama Indonesia dan Thailand.

Malaysia akan terus memperkukuh dan menambah baik saluran termasuk mekanisme sedia ada untuk memudah cara dan memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serta pelaburan rentas sempadan.

Bagaimanapun, kementerian itu menjelaskan penggunaan mata wang utama dalam perdagangan dan kewangan antarabangsa masih didorong oleh faktor struktur, termasuk saiz pasaran kewangan serta penerimaannya yang meluas dalam kalangan perniagaan dan pelabur.

"Sehubungan itu, usaha memperluas penggunaan mata wang tempatan perlu dipacu oleh permintaan pasaran, disokong infrastruktur pembayaran rentas sempadan yang cekap serta kerjasama berterusan antara negara," tambah MoF.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.