ad

Kami bukan cerita utama, ini tentang penduduk Gaza - Greta Thunberg

6 Okt 2025, 11:49 PM
Kami bukan cerita utama, ini tentang penduduk Gaza - Greta Thunberg
Kami bukan cerita utama, ini tentang penduduk Gaza - Greta Thunberg

SHAH ALAM, 7 OKT: Aktivis alam sekitar dan keamanan antarabangsa, Greta Thunberg, menegaskan perjuangan menegakkan hak asasi manusia tidak seharusnya dibungkam atau disempitkan kepada batas politik, sebaliknya perlu dilihat sebagai tanggungjawab sejagat terhadap nilai kemanusiaan.

Dalam kenyataan panjang yang dikongsikan di media sosial, Greta yang baru dibebaskan selepas ditahan bersama sukarelawan kapal misi kemanusiaan “Global Flotilla”, menolak untuk menjadikan penahanannya sebagai fokus utama. Sebaliknya, beliau menegaskan tumpuan sebenar harus diberikan kepada nasib rakyat Palestin yang berdepan penindasan dan sekatan berpanjangan.

“Kami bukan cerita utama. Ribuan rakyat Palestin ditahan tanpa bicara, ratusan daripadanya kanak-kanak. Jutaan pula hidup terperangkap di bawah kepungan dan penindasan yang menafikan hak paling asas — daripada menghasilkan makanan sendiri sehinggalah ke sekolah,” katanya.

Greta turut menyifatkan situasi di Gaza sebagai krisis kemanusiaan yang berlaku secara sistematik dan berterusan, bukan hanya selepas konflik tercetus tahun lalu. Beliau mendakwa masyarakat antarabangsa gagal menghentikan pencabulan hak asasi yang jelas, malah sebahagiannya memberi legitimasi melalui sikap berdiam diri.

“Seluruh dunia tahu ini tidak bermula pada Oktober 2023. Jenayah perang berlaku dengan keizinan institusi dan kerajaan yang sepatutnya mempertahankan undang-undang antarabangsa,” ujar aktivis kelahiran Sweden itu.

“Apa yang dilakukan Israel bukan sekadar menahan kami di perairan antarabangsa, tetapi menghentikan misi kemanusiaan yang membawa makanan, ubat dan susu bayi — keperluan asas untuk penduduk yang sedang kebuluran,” katanya lagi.

Beliau turut mengkritik sikap negara-negara maju yang sering melaungkan komitmen terhadap hak asasi manusia, tetapi gagal bertindak apabila prinsip tersebut benar-benar diuji.

“Apabila kami cuba melaksanakan apa yang mereka laungkan — memastikan bantuan sampai ke Gaza secara aman dan sah — mereka gagal melindungi kami. Misi ini tidak sepatutnya wujud jika kerajaan benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Greta dalam ucapannya turut menolak dakwaan bahawa pasukan flotila tersebut mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan bersenjata, sebaliknya menegaskan misi mereka berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

“Kami bukan ejen mana-mana pihak, bukan pengganas. Kami hanya membawa bekalan untuk mereka yang sedang lapar dan dizalimi. Jika tindakan sedemikian disamakan dengan keganasan, dunia ini telah kehilangan arah,” katanya sambil menyindir hipokrasi global terhadap istilah ‘terorisme’.

Aktivis berusia 22 tahun itu juga menegaskan bahawa keadilan sejati hanya boleh wujud apabila dunia menolak dwi-standard — menghargai setiap nyawa manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

“Tiada manusia yang lebih berharga daripada yang lain. Dan ya, itu termasuk orang Israel. Adalah tidak masuk akal kenyataan ini masih perlu diulang hari ini,” tegasnya.

Greta menutup kenyataannya dengan seruan agar masyarakat dunia tidak lagi berdiam diri terhadap ketidakadilan. Beliau menyeru agar gerakan solidariti antarabangsa terus menekan kerajaan dan institusi dunia supaya menghormati undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

“Saya akan terus berjuang untuk dunia bebas — bebas daripada segala bentuk penindasan dan perkauman. Dunia di mana kebajikan manusia dan alam menjadi keutamaan berbanding keuntungan ekonomi jangka pendek,” katanya.

“Kita mempunyai kebenaran, undang-undang, kasih sayang dan solidariti di pihak kita. Mereka yang menindas hanya ada kebencian, senjata dan dusta. Keadilan pasti menang.”

Misi Global Sumud Flotilla disertai oleh aktivis dari pelbagai latar belakang dan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Afrika Selatan, Turkiye dan Eropah. Ia merupakan salah satu misi solidariti terbesar pada tahun ini yang digerakkan oleh gabungan NGO antarabangsa.

23 aktivis Malaysia turut ditahan Israel tetapi sudah dibebaskan dan dijangka tiba di Malaysia pada malam ini.