ad

OKU, pesara cari peluang kerja di karnival kerjaya Selangor

7 Okt 2025, 2:01 AM
OKU, pesara cari peluang kerja di karnival kerjaya Selangor
OKU, pesara cari peluang kerja di karnival kerjaya Selangor
OKU, pesara cari peluang kerja di karnival kerjaya Selangor
OKU, pesara cari peluang kerja di karnival kerjaya Selangor
OKU, pesara cari peluang kerja di karnival kerjaya Selangor

SHAH ALAM, 7 OKT: Penganjuran Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2025 memudahkan masyarakat khususnya orang kurang upaya (OKU) mencari peluang pekerjaan.

Seorang gadis yang terpaksa bergerak menggunakan tongkat menyifatkan karnival itu memberi peluang kepadanya mengenali lebih banyak syarikat daripada pelbagai bidang yang menawarkan pekerjaan kepada OKU.

"Menerusi karnival ini, golongan OKU dapat mencari lebih banyak peluang dalam pelbagai bidang kerana dapat kenal pasti keperluan pekerjaan syarikat.

Aliah Azzahrah Shahidani

"Berharap agar ia diperluaskan lagi ke lebih banyak kawasan dan menyediakan peluang inklusif kepada setiap lapisan masyarakat seperti OKU," kata Aliah Azzahrah Shahidani, 25, ketika ditemui Media Selangor.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini, lebih 40 majikan menyertai karnival yang turut menyasarkan bekas banduan dan warga emas.

Karnival itu merupakan program anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor dengan kerjasama MYFutureJobs.

A Selvaraj

Manakala A Selvaraj, 61, berkata penganjuran karnival kerjaya itu memberi peluang kepadanya mencari pekerjaan lain selepas persaraan.

"Saya hadir ke sini untuk menemani anak mencari pekerjaan tetapi sekiranya ada pekerjaan sesuai dengan kemahiran, saya menghargai kebolehan untuk memohonnya.

"Generasi muda seharusnya mengambil peluang platform yang disediakan, jangan takut juga untuk menceburi bidang pekerjaan di luar bidang jurusan yang diambil," katanya.

Amir Fahmi Jins

Graduan dari universiti di Puncak Alam pula menyifatkan karnival itu membuka peluang kepada majikan mengenali pemohon kerana sesi temu duga terus dijalankan.

"Ini kali pertama saya hadir ke karnival kerjaya yang disertai puluhan majikan. Pengalaman amat menarik kerana majikan dapat mengenali calon terus melalui temu duga di lokasi sekali gus meningkatkan peluang untuk diterima kerja.

"Cuma saya berharap lebih banyak majikan daripada syarikat pengisian data menyertainya bagi memudahkan graduan jurusannya mendapat peluang pekerjaan dalam sektor yang diingini," kata Amir Fahmi Jins, 22.

Helena Thivia Raj

Bagi Helena Thivia Raj, 21, pula karnival itu membantunya meningkatkan pengetahuan tentang dunia pekerjaan.

"Karnival ini memberi gambaran jelas tentang jenis pekerjaan yang sesuai dengan tahap pendidikan dan kemahiran individu. Biarpun tawaran kerja dengan bidang pengajian kurang serasi tetapi saya bersedia cuba menceburi pekerjaan dalam bidang lain.

"Bagi saya karnival seperti ini perlu terus dipromosikan melalui media sosial serta diperluas ke kawasan yang memerlukan seperti luar bandar," kata graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris.