ad

Suami maut, isteri dan tiga anak parah kereta langgar tiang elektrik

6 Okt 2025, 10:55 AM
Suami maut, isteri dan tiga anak parah kereta langgar tiang elektrik

SEORANG MAUT, EMPAT CEDERA PARAH KERETA TERBABAS LANGGAR TIANG ELEKTRIK

SHAH ALAM, 6 OKT: Seorang lelaki maut manakala empat ahli keluarganya termasuk seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata dalam kejadian pukul 1.20 tengah hari itu, lelaki berusia 39 tahun berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa pada pukul 1.45 tengah hari.

"Pemeriksaan mendapati isteri mangsa ita berusia 38 tahun mengalami cedera parah dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

"Dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia tujuh dan empat tahun serta seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan turut cedera parah dan kesemua mereka dihantar ke hospital oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, wanita berkenaan dibawa ke Hospital Shah Alam, manakala tiga kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Pakar KPJ Selangor di Seksyen 20.

Ahmad Mukhlis berkata operasi menyelamat melibatkan seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam.

-- BERNAMA