Insiden lori KDEBWM terbabas, siasatan dalaman sedang dijalankan

7 Jan 2026, 4:40 AM
Insiden lori KDEBWM terbabas, siasatan dalaman sedang dijalankan

SHAH ALAM, 7 JAN: Lori kompaktor milik KDEB Waste Management (KDEBWM) yang terbabas ke dalam longkang di Jalan Iskandar, Bukit Kapar, Klang semalam telah dihantar ke bengkel untuk pemeriksaan dan pembaikan.

Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEBWM memaklumkan kejadian itu tidak melibatkan sebarang cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut kenyataan itu, lori berkenaan beroperasi di kawasan Selayang dan sedang dalam perjalanan ke tapak pelupusan sisa pepejal selepas selesai kerja kutipan.

“Maklumat awal mendapati lori tersebut dipercayai terbabas sebelum jatuh ke dalam longkang. Faktor persekitaran dan keadaan jalan ketika kejadian sedang dikenal pasti melalui siasatan dalaman pihak pengurusan.

“Lori itu telah berjaya dikeluarkan dengan bantuan perkhidmatan tunda dan kini dihantar ke panel KDEBWM,” katanya.

KDEBWM turut memaklumkan aspek keselamatan operasi, pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan kebajikan pemandu sentiasa diberi perhatian.

Menurutnya, langkah penambahbaikan akan diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan sementara siasatan lanjut dijalankan.

Semalam, satu video memaparkan lori kompaktor KDEBWM terbabas ke dalam longkang besar di Jalan Iskandar, Bukit Kapar tular di media sosial.