KUALA LUMPUR, 6 OKT: Sebanyak 157 projek lewat jadual (sakit) melibatkan 18 kementerian bagi pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilaporkan pada 31 Dis 2024, dengan Kementerian Pendidikan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 46 projek.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, jumlah itu diikuti dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sebanyak 34 projek, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (12 projek) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (11).
Sehubungan itu, pihak audit negara mengesyorkan setiap kementerian dan jabatan hendaklah mengambil tindakan penyelesaian segera terhadap projek lewat jadual, bagi memastikan projek yang dirancang dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025 (tahun terakhir RMK12).
Laporan itu turut memaklumkan sebanyak 3,829 projek (43.7 peratus) berada pada peringkat dalam pelaksanaan; 2,400 projek (27.4 peratus) masih pada peringkat prapelaksanaan dan 2,355 projek (26.9 peratus) berada pada peringkat pascapelaksanaan.
Sebanyak 171 projek (2.0 peratus), berstatus batal dan simpan dalam perhatian.
“Prestasi perbelanjaan projek bagi tempoh tahun 2021 hingga 2024 adalah sebanyak RM315.932 bilion, melebihi peruntukan yang diluluskan sebanyak RM307.908 bilion bagi tempoh yang sama.
“Jumlah ini telah mencecah 76.1 peratus daripada jumlah siling peruntukan sebanyak RM415.0 bilion bagi tempoh (RMK12) selepas Kajian Separuh Penggal RMK12,” menurut laporan itu.