ISTANBUL, 6 OKT: Israel pada Isnin akan mengusir kira-kira 170 aktivis yang ditahan selepas pasukan tenteranya menyerang flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam pelayaran ke Gaza, menurut Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel, ADALAH, lapor Anadolu Ajansi (AA).
ADALAH dalam kenyataan lewat Ahad memaklumkan bahawa Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) telah memberitahu peguam mereka mengenai rancangan untuk mengusir aktivis terbabit tanpa memberikan butiran lanjut termasuk nama, kewarganegaraan atau destinasi mereka.
Israel sebelum ini telah mengusir kira-kira 170 peserta flotila Gaza sejak beberapa hari lalu, kebanyakannya ke Istanbul manakala kumpulan lebih kecil dihantar ke Itali dan Sepanyol, menurut kenyataan itu.
ADALAH berkata peguam mereka dinafikan akses untuk bertemu aktivis semasa beberapa lawatan pada Sabtu, namun bekalan ubat-ubatan dibenarkan dibawa masuk ke penjara selepas campur tangan undang-undang dan lawatan wakil kedutaan asing yang menilai keadaan kesihatan para aktivis.
Pusat hak asasi itu memaklumkan ia sedang memantau keadaan aktivis berkenaan, menuntut agar peguam dibenarkan akses meskipun terdapat sekatan oleh IPS, serta memastikan hak mereka dilindungi sehingga proses pengusiran dilaksanakan.
Menurut ADALAH, IPS hanya membenarkan lawatan selama 30 minit, yang peguam sempat bertemu kesemua 11 peserta dari Tunisia yang sedang mogok lapar, yang memaklumkan bahawa ramai lagi aktivis turut menolak untuk makan.
Para aktivis memberitahu peguam bahawa mereka mengalami “serangan dan keganasan berleluasa” ketika dipindahkan dari pelabuhan Ashdod ke Penjara Ketziot di Gurun Negev, serta pada hari-hari awal penahanan mereka.
“Keadaan semasa di dalam penjara dilaporkan agak stabil, namun masih terdapat kebimbangan terhadap kesihatan aktivis yang mogok lapar serta penafian rawatan perubatan mencukupi,” menurut kenyataan ADALAH.
-- BERNAMA-ANADOLU