ad

6,088 jawatan ditawar di Karnival Kerjaya JobCare Selangor 2025, gaji hingga RM12,000

3 Okt 2025, 12:00 PM
6,088 jawatan ditawar di Karnival Kerjaya JobCare Selangor 2025, gaji hingga RM12,000

SHAH ALAM, 3 OKT: Tawaran gaji lumayan antara RM5,000 hingga RM12,000 sebulan antara tarikan Karnival Kerjaya JobCare Istimewa Selangor 2025 yang berlangsung pada 6 Oktober ini di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 di sini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata, syarikat terlibat termasuk Soft Reflexes Sdn Bhd, Radicare (M) Sdn Bhd dan KyoChon Sdn Bhd.

“Sebanyak 6,088 kekosongan jawatan ditawarkan dengan penyertaan 40 majikan. Daripada jumlah itu, 1,522 jawatan menawarkan gaji di bawah RM2,500 manakala 4,566 jawatan melebihi RM2,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, 71.1 peratus kekosongan jawatan berada di Selangor manakala selebihnya di luar negeri.

Antara sektor terlibat termasuk peruncitan dan jualan (47.8 peratus), teknologi maklumat dan komunikasi (18.8 peratus), makanan dan minuman (22.8 peratus), pentadbiran dan sumber manusia (3.7 peratus) serta lain-lain (6.9 peratus).

Papparaidu menambah, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan inklusif dengan menyediakan 1,060 peluang khas untuk kumpulan rentan termasuk 260 jawatan bagi Orang Kurang Upaya (OKU).

“Golongan asnaf, Orang Asli, bekas banduan, klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), warga emas, wanita kembali bekerja serta gelandangan turut menjadi sasaran utama,” katanya.