ad

Dari mangsa buli, Azizi Latif gegarkan dunia seni

7 Okt 2025, 3:01 AM
Dari mangsa buli, Azizi Latif gegarkan dunia seni

Berbekalkan RM70 di dalam poket ketika isteri sarat mengandung, pelukis berbakat Azizi Latif pernah melalui titik terendah dalam hidupnya.

Di bangku sekolah, beliau menjadi mangsa buli bahasa, sering diejek sebagai “budak OKU”. Namun hari ini, Azizi membuktikan bahawa kelainan bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang mengangkatnya ke persada seni.

Kisah hidup Azizi adalah perjalanan penuh luka, jatuh dan bangun, yang kini menjadi inspirasi buat ramai.

Parut buli dan bengkel seni

Perjalanan seni Azizi bermula dari luka lama yang berbekas. Sejak di bangku sekolah, kelainan fizikalnya menjadikannya sasaran ejekan dan penghinaan.

“Ejekan menjadi rutin setiap kali di sekolah, ‘Woi, budak OKU!’,” imbas Azizi yang masih mengingati detik perit itu. Tekanan yang ditanggung hanya mampu dipendam kerana takut pada ibu bapa yang tegas.

Satu-satunya tempat yang membuatnya berasa tenang ialah bengkel seni sekolah. Di situ, lukisan menjadi bahasa jiwa dan ruang meluahkan segala kesedihan.

“Saya banyak menghabiskan masa saya di sekolah bukan di dalam kelas, tetapi di bengkel seni. Sebab saya tak nak berjumpa dengan budak-budak yang selalu buli saya,” katanya dalam program “Siapa Tahu?” terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Setiap luahan hatinya direkodkan dalam buku lukisan yang masih disimpan hingga hari ini yang menjadi saksi perjalanan seninya sejak remaja.

Hampir jadi mekanik

Cabaran Azizi tidak berhenti di sekolah. Ibunya sendiri pernah menzahirkan keraguan terhadap masa depan anaknya dalam bidang seni, lebih-lebih lagi ketika masyarakat pada era 90-an kurang memberi perhatian terhadap kerjaya kreatif.

Pelukis Azizi Latif bersama antara hasil seni kreatif yang dipamerkan di 'Reverie Unbound: Unraveled Perspectives' di Fab Cafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 19 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Nak ambil lukisan untuk apa? Boleh hidup ke? Kau nak jadi pelukis kaki lima ke?” pertanyaan itu masih segar di ingatan Azizi setiap kali mengenang kembali pandangan skeptikal ibunya.

Lebih mencabar, permohonan pertama beliau ke universiti dalam bidang seni gagal. Namun, semangatnya tidak pernah luntur. Beliau mencuba lagi, dan pada masa sama ibunya mendaftarkannya ke sebuah pusat latihan kemahiran OKU di Bangi tanpa pengetahuannya.

“Saya dah kemas-kemas barang dah. Esoknya surat UiTM sampai rumah. Ya Allah, sujud syukur saya waktu tu. Memang tepat pada waktunya,” ceritanya sambil tersenyum mengenang detik yang hampir mengubah takdir hidupnya.

Walaupun berjaya menamatkan pengajian, keraguan ibunya tidak serta-merta hilang. Demi memenuhi harapan keluarga, Azizi pernah bekerja sebagai pereka grafik dan penulis. Namun jiwanya tetap terpaut pada dunia seni.

Isteri, sahabat dan RM70

Titik perubahan hidup Azizi bermula selepas mendirikan rumah tangga pada 2015. Beliau kembali melukis sepenuh masa secara senyap, namun kehidupan ketika itu sangat mencabar.

Pelukis Azizi Latif bersama antara hasil seni kreatif yang dipamerkan di 'Reverie Unbound: Unraveled Perspectives' di Fab Cafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 19 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau hanya mempunyai RM70 ketika isterinya sarat mengandung anak pertama. Dalam keterdesakan itu, pertandingan berprestij UOB Painting of the Year menjadi sinar baharu dalam hidupnya.

Menggunakan teknik quilling kertas, Azizi menyiapkan karya yang akhirnya membuka pintu rezekinya. Namun, tidak semua menyokong langkah beraninya.

“Susah karya kau ni nak pergi jauh, kau tahu kan yang masuk ni semua yang hebat-hebat...,” katanya mengimbas kembali kata-kata rakan yang hampir mematahkan semangatnya.

Saat beliau hampir berputus asa, isterinya tampil meniup semangat.

“Buat apa nak dengar cakap orang, inikan karya abang,” ujar isteri yang diam-diam mendaftarkan penyertaan Azizi bagi kategori profesional.

Selain isterinya, sahabat karibnya Syafiq Masran, seorang pereka bentuk industry, turut menjadi tulang belakang, membantu memperhalusi teknik paper art yang akhirnya menjadi identiti tersendiri Azizi.

Panggilan kemenangan

Berkat sokongan insan tersayang dan ketekunan tanpa henti, keajaiban muncul. Panggilan telefon yang disangka gurauan rupa-rupanya membawa khabar gembira, sebuah kemenangan besar yang mengubah hidupnya.

Pelukis Azizi Latif bersama antara hasil seni kreatif yang dipamerkan di 'Reverie Unbound: Unraveled Perspectives' di Fab Cafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 19 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Azizi dinobatkan pemenang tempat kedua UOB Painting of the Year, membawa pulang hadiah RM32,000. Karyanya bertajuk Aku Dan Dia memaparkan potret penuh emosi menggunakan teknik quilling kertas, melambangkan perjuangan hidup seorang pelukis.

“Ya Allah, isteri saya punya menangis. Saya sujud syukur. Memang betullah (kemenangan itu), bukan scam, bukan benda main-main,” katanya, tersenyum mengenang detik bermakna yang hadir hanya beberapa hari sebelum kelahiran anak sulungnya.

Nasihat buat anak seni

Kini, Azizi bukan lagi pelajar yang disisih atau mangsa buli yang menyorokkan diri. Beliau kini seorang pelukis yang disegani dengan pelbagai pameran di dalam dan luar negara.

Pelukis Azizi Latif bersama antara hasil seni kreatif yang dipamerkan di 'Reverie Unbound: Unraveled Perspectives' di Fab Cafe Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 19 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pesannya kepada anak muda dan penggiat seni: jangan pernah berhenti berkarya.

“Teruskan berkarya. Jangan takut bereksperimen. Buat silap dan cuba lagi. Sebab dalam dunia seni ni, dia bukan soal bakat sahaja, dia adalah soal ketekunan.

“Bakat ini semua orang ada, tapi nak bina identiti dalam lukisan itu, dia perlukan masa yang sangat panjang. Daripada kesilapan itulah kita akan dapat sesuatu yang baru.”