SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menetapkan hanya restoran dan premis makanan yang memiliki tandas bertaraf empat dan lima bintang sahaja layak memperbaharui lesen perniagaan mulai tahun depan.
Yang Dipertua MPKL, Mohd Hasry Nor Mohd berkata penetapan syarat kebersihan tandas itu bukan sahaja meningkatkan imej premis malah mencerminkan tahap kebersihan keseluruhan kawasan perbandaran.
“Jika tandas bersih, menawan dan wangi (BMW), reputasi premis akan meningkat dan secara tidak langsung memberi imej positif kepada perbandaran.
“Dengan memasukkan syarat tambahan dalam lesen, kita bukan sahaja mengawal melalui penguatkuasaan tetapi memastikan pemilik premis benar-benar memelihara standard BMW secara konsisten, bukan hanya ketika pemeriksaan,” katanya kepada Media Selangor.
“Ia juga memastikan pemilik premis lebih tanggungjawab untuk menjaga kebersihan tandas dengan konsisten bukannya hanya ketika pemeriksaan sahaja,” katanya kepada Media Selangor.
Jelas beliau, kriteria penilaian tandas BMW adalah selaras dengan saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
MPKL sebelum ini melalui Facebook memaklumkan bahawa panduan penilaian lengkap dan senarai semak kendiri boleh diakses melalui kod QR yang disediakan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran di talian 012-300 4847.
