KUALA LUMPUR, 5 OKT: Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan usia menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan susulan kejayaan pembebasan 23 aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini selamat berada di Istanbul, Turkiye.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Terengganu Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh berkata kejayaan membawa pulang aktivis dalam kadar segera itu, pencapaian luar biasa yang memerlukan tahap kekuatan diplomasi yang tinggi.
Beliau berkata ini sekali gus membuktikan kredibiliti Perdana Menteri sebagai pemimpin yang berani, lantang dan bijak dalam menangani sebarang isu serta krisis dalam dan luar negara.
"Saya mewakili golongan belia merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan MADANI terutama Perdana Menteri dan juga Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang berjaya membawa pulang rakyat Malaysia dalam kadar segera.
"Kejayaan itu bukanlah suatu yang mudah dicapai dan boleh disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa kerana ia melibatkan rejim Zionis," katanya sambil menambah kejayaan itu pastinya memberi inspirasi kepada ramai sukarelawan lain untuk meneruskan perjuangan membela rakyat Palestin.
Di Pulau Pinang, Ahli Jawatankuasa Belia Permatang Pauh Nur Liyana Sa’idin, 23, menyifatkan kejayaan membawa pulang aktivis kemanusiaan GSF sebagai bukti kecekapan kerajaan mengurus krisis melalui diplomasi antarabangsa.
Beliau berkata usaha pantas kerajaan telah memastikan kesemua 23 aktivis kemanusiaan negara dapat pulang dengan selamat, dengan turut dibantu Wisma Putra, agensi keselamatan, barisan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan sokongan yang bekerja tanpa henti memperjuangkan keselamatan aktivis.
Di Kedah, Pengerusi Pertubuhan Bank Makanan Malaysia (Food Bank Malaysia) Mohd Azrul Mohd Razak, 40, turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas kejayaan dan usaha diplomatik yang cemerlang.
“Ini membuktikan betapa hebatnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara luar sehingga berjaya membawa pulang warga negara kita. Terima kasih terhadap komitmen yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh PMX dan kerajaan dalam menyuarakan solidariti terhadap perjuangan Palestin,” katanya.
Bagi Mohamad Sayuti Wan Chik, 43, pemandu e-panggilan dari Kepala Batas berkata kejayaan itu membuktikan keupayaan diplomasi Malaysia pada peringkat antarabangsa selain menghargai usaha kerajaan yang berusaha membawa pulang semua peserta dengan selamat.
Di Negeri Sembilan, pekerja swasta Mohd Arif Arifin, 35, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas usaha Perdana Menteri membantu pembebasan kesemua rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF.
Anak kelahiran Seremban itu berkata walaupun misi utama mereka untuk menyerahkan semua bantuan makanan termasuk ubat-ubatan kepada rakyat Palestin tidak tercapai, namun semangat juang ditunjukkan perlu dipuji.
"Mereka juga wira dan wirawati negara yang perlu dipuji serta dihargai. Bukan semua orang sanggup tinggalkan keluarga semata-mata untuk ke Gaza dan melaksanakan misi yang penuh risiko seperti ini," katanya.
Penjawat awam S Angeline, 42, berkata tanpa usaha dan campur tangan diplomasi Perdana Menteri sudah pasti misi pembebasan kesemua rakyat Malaysia ini sukar dicapai.
"Kita dimaklumkan PM yang menghubungi kerajaan Turkiye supaya membantu membawa sekali rakyat Malaysia dari Israel, usaha itu membuktikan kerajaan Malaysia benar-benar mengambil berat untuk keluarkan rakyat Malaysia. Terima kasih Perdana Menteri atas usaha berkenaan," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
- BERNAMA