SHAH ALAM, 5 OKT: Aktivis antarabangsa yang dibebaskan selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) mendakwa tentera Israel menganiaya aktivis dari Sweden, Greta Thunberg selain melayan mereka seperti haiwan.
Seramai 137 aktivis tiba di Istanbul semalam, termasuk 36 warga Turkiye serta peserta dari Amerika Syarikat, Itali, Malaysia, Kuwait, Switzerland, Tunisia, Libya, Jordan serta beberapa negara lain.
Aktivis Malaysia Heliza Helmi berkata Greta Thunberg ditolak dan diarak dengan bendera Israel selain melayan aktivis seperti haiwan.
“Ia adalah bencana. Mereka melayan kami seperti haiwan. Tahanan dinafikan makanan, air bersih dan ubat-ubatan,” lapor Berita Harian.
Selain itu, peserta dari Turkiye, Ersin Celik menyaksikan sendiri tentera Israel menyeksa Greta Thunberg.
“Greta diseret ke tanah dan dipaksa mencium bendera Israel,” katanya yang juga wartawan Turkiye.
Sementara itu, penyampai televisyen dari Turkiye Ikbal Gurpinar berkata tentera Israel melayan mereka seperti anjing.
“Mereka membiarkan kami kelaparan selama tiga hari dan tidak memberi air. Kami terpaksa minum dari tandas. Hari itu sangat panas, dan kami semua seperti dipanggang.
“Ini pengalaman pahit dan memberi pemahaman yang lebih baik tentang Gaza,” katanya.
Semalam, Kementerian Luar memaklumkan semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan pihak berkuasa Israel semalam.
Kumpulan itu berlepas dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 3.40 petang waktu tempatan.
Menurut kementerian, semua rakyat Malaysia selamat dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum pulang ke Malaysia pada 5 atau 6 Oktober ini.