SHAH ALAM, 30 APRIL: Sebanyak 22 kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipintas dan diceroboh ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran kepulauan Crete, Greece, dengan 10 rakyat Malaysia dikenal pasti terputus hubungan.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata insiden berlaku antara jam 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia apabila kapal-kapal misi kemanusiaan berkenaan dihampiri secara agresif oleh pihak tentera Israel.
Menurutnya, kedudukan flotila ketika kejadian adalah kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza, dalam zon pelayaran antarabangsa yang sah di bawah undang-undang maritim antarabangsa.
SNCC melaporkan berlaku provokasi termasuk tembakan amaran ke arah kapal delegasi serta gangguan frekuensi radio terhadap aktivis yang tidak bersenjata.
"SNCC mengesahkan sebanyak 22 buah kapal flotila yang dinaiki 186 orang telah dipintas, terputus hubungan serta diceroboh secara langsung," katanya dalam sidang media berlangsung hari ini.
Antara kapal terlibat termasuk Saf Saf, Arkham 3, Bella Blue, Romantica, Goleta, Eros 1, Esplai, Mystere, Magic Boot, Ghea, Snap, Eros, Tam Tam, Nagual, Lapinya, Bianca BCN, Freia, Batolo, Bribon, Marea, Malia dan Holy Blue.
"Daripada jumlah itu, enam kapal disahkan ditahan dan diceroboh melibatkan 10 rakyat Malaysia.
"Mereka ialah Zainal Rashid Ahmad (Arkham 3); Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Muhammad Shamshir Mohd Isa (Esplai); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN); Mohd Redzal Hamzah (Freia) serta Muhammad Muhsin Zaidi (Marea)," katanya.
Dalam perkembangan sama, SNCC turut mengesan kehadiran puluhan dron tidak dikenal pasti beroperasi di sekitar kawasan flotila ketika insiden berlaku.
"Rakaman audio dan visual yang diperolehi membuktikan pihak terbabit menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasi tembakan amaran serta mempengaruhi persepsi di media sosial," katanya.
Beliau berkata pihaknya percaya gangguan komunikasi berlaku akibat penggunaan dron yang membawa sistem 'jammer', menyebabkan beberapa kapal terputus hubungan.
SNCC turut memaklumkan semua kapal telah diarahkan untuk segera bergerak ke perairan Greece sebagai langkah keselamatan, selain memantau kemungkinan kehadiran kapal pengawal pantai negara itu.
Beliau turut berpandangan tindakan terbaharu itu menunjukkan pihak berkenaan semakin terdesak, apatah lagi insiden kali ini berlaku di perairan antarabangsa berbanding tahun lalu yang berlaku kira-kira 50 batu nautika dari Gaza.
"Kita nampak pihak rejim sangat terdesak dan melakukan tindakan yang kita kata tindakan pengecut, sedangkan kita berada di perairan antarabangsa.
"Ketumbukan seluruh dunia termasuk dari Malaysia menyebabkan pihak rejim berasa goyah dan juga membuat provokasi awal. Mungkin mengugut untuk menghentikan gerakan besar-besaran yang paling bersejarah dalam dunia iaitu kapal-kapal terbesar untuk masuk ke Gaza,” katanya.
"Dan kita perlukan sokongan daripada pihak kerajaan untuk melihat apa saja keperluan khususnya dari sudut keselamatan khususnya dari sudut urusan diplomatik dengan Greece dan juga dengan Turki," tambahnya.
Dalam pada itu, pihaknya menggesa rakyat Malaysia untuk terus menyokong misi berkenaan termasuk mendoakan keselamatan semua delegasi yang terlibat.
"Kami menyeru rakyat Malaysia bersatu hati dan segera laksanakan solat hajat serta Qunut Nazilah bagi memohon perlindungan dan keselamatan buat seluruh delegasi misi, khususnya rakyat Malaysia," katanya.
SNCC turut menegaskan bahawa mereka merupakan sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih berhubung insiden tersebut, sekali gus mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
Penjejakan langsung pergerakan flotilla GSF 2.0 boleh dilayari melalui tracker di sntrancker.sumudnusantara.com.








