SHAH ALAM, 5 OKT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bakal melancarkan jualan set bakul makanan lengkap dengan keperluan barangan asas pada harga rendah.
Ketua pegawai operasi PKPS Ehsan Sdn Bhd berkata dijual pada harga antara RM30 hingga RM80 itu, set bakul makanan itu bukan hanya memudahkan pelanggan malah turut sesuai dijadikan buah tangan.
“Produk ini sudah dilaksanakan sejak setahun lalu dan kita terima sambutan memberangsangkan terutama ketika Ramadan dan musim perayaan. Tahun ini saja nilai transaksi jualan sudah menghampiri RM1 juta.
“Melihat perkembangan yang sangat baik ini, jadi kita akan lancarkan produk ini dalam masa terdekat supaya lebih ramai akan terima manfaat. Bukan hanya murah tetapi produk juga berkualiti,” kata Rosnani Abdul Malek kepada Media Selangor.
Beliau berkata antara barangan yang terkandung dalam bakul makanan terbabit ialah minyak masak, tepung, gula, bihun, biskut, sos cili, kicap, santan dan susu pekat.
“Pelanggan juga diberi pilihan sekiranya mereka mahukan barangan lain untuk diletakkan dalam bakul terbabit. Mereka boleh pilih mana-mana barangan mengikut peruntukan yang ada,” katanya.
