KUALA LUMPUR, 5 OKT: Selangor berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Agong buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Pertembungan sengit itu terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan, lapor Sinar Harian.
Kuala Lumpur terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Ibrahim Nyass Ilmu yang memanfaatkan peluang di depan gawang untuk mendahului juara bertahan.
Bagaimanapun, Selangor bangkit di babak kedua dengan corak permainan lebih kemas dan beberapa siri serangan berbahaya ke kubu lawan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-85.
Irfan Raziq Rasol yang mengambil sepakan itu tenang menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Muhammad Firdaus Mohd Kamal bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Memasuki masa tambahan, Selangor beraksi dengan 10 pemain selepas Irfan dilayangkan kad merah pada minit ke-99.
Namun semangat juang tinggi skuad Gergasi Merah tidak luntur, apabila mereka berjaya menamatkan aksi dengan kemenangan 4-3 dalam penentuan penalti sekali gus mempertahankan trofi berprestij itu untuk tahun ketiga berturut-turut.