KUALA LANGAT, 5 OKT: Muzium Shah Alam bakal menganjurkan pameran khas sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebagai pembuka tirai kejohanan dengan sasaran kehadiran 200,000 pengunjung.
EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata usaha itu selari dengan misi memberi nafas baru kepada Muzium Shah Alam agar terus relevan dan menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda.
“Pameran khas SUKMA ini akan menampilkan semangat kesukanan dan sejarah temasya sukan yang menjadi kebanggaan negara, terutama apabila Selangor dipilih sebagai tuan rumah kejohanan tersebut.

“Selain itu, kita dalam perancangan untuk menganjurkan festival bertemakan kepercayaan karut dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni MADANI di Kampung Sungai Lang Baru, di sini semalam.
Borhan menambah, festival yang bertemakan kepercayaan karut itu bertujuan mendedahkan mitos dan cerita lama kepada generasi muda supaya mereka lebih memahami ia sebagai warisan cerita rakyat, bukan kepercayaan yang boleh menjejaskan akidah.
Beliau turut menegaskan perancangan festival berkenaan akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memastikan kandungan dan penyampaiannya tidak bercanggah dengan hukum hakam serta akidah Islam.
Dalam pada itu, Borhan berkata peranan Muzium Shah Alam akan diperkukuh dengan menampilkan sejarah penubuhan negeri, perkembangan ekonomi dan pembentukan identiti Selangor melalui pelbagai bahan dan pendekatan interaktif yang lebih segar.