ad

Malaysia mohon bantuan pelbagai negara untuk bebaskan sukarelawan GSF

4 Okt 2025, 8:50 AM
Malaysia mohon bantuan pelbagai negara untuk bebaskan sukarelawan GSF

SHAH ALAM, 4 OKT: Malaysia sedang mendapatkan bantuan pelbagai negara termasuk anggota Asean, Jordan dan Turkiye dalam usaha membebaskan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan pihak berkuasa Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan menggerakkan pelbagai saluran diplomatik melalui rakan antarabangsa bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia.

“Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi memberi jaminan kepada saya bahawa beliau telah mengarahkan kementerian luar Jordan untuk membantu rakyat Malaysia. Turkiye juga memberi komitmen untuk membantu sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) hari ini.

Menurut beliau, situasi ini membuktikan kepentingan hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan negara-negara sahabat.

Sementara itu, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim memaklumkan semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat.

“Pada peringkat awal, delegasi GSF dinafikan hak bertemu peguam, namun dalam tempoh 24 jam lalu, peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) telah berjaya bertemu mereka.

“Proses kini sedikit terhalang kerana pejabat di sana ditutup, tetapi kami harap ada perkembangan positif dalam fasa rundingan akhir pembebasan mereka,” katanya.