ad

Pelajar Tingkatan Empat meninggal dunia ketika sertai Kejohanan Ragbi SBP

4 Okt 2025, 7:27 AM
Pelajar Tingkatan Empat meninggal dunia ketika sertai Kejohanan Ragbi SBP

IPOH, 4 OKT: Polis mengesahkan pelajar lelaki Tingkatan Empat meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman,16, berasal dari Johor dilaporkan rebah secara tiba-tiba pada 10.30 pagi, ketika hendak memasuki padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua dalam kejohanan itu.

“Hasil temu bual awal bersama guru pengiring mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau keletihan ketika bermain pada separuh masa pertama perlawanan tersebut.

"Pegawai perubatan yang bertugas di lokasi kejadian segera memberi rawatan awal selepas mendapati mangsa mengalami kekejangan otot dan disyaki terkena sawan. Bantuan pernafasan (CPR) turut diberikan selepas nadi mangsa dikesan lemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada 11.18 pagi.

“Hasil bedah siasat Jabatan Forensik HRPB mendapati punca kematian adalah akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan (exsanguination from psoas muscle tear). Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil keputusan membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP Peringkat Kebangsaan 2025, selepas kejadian seorang pelajar yang menyertainya meninggal dunia secara mengejut.

- BERNAMA