SHAH ALAM, 4 OKT: Shah Alam kini muncul sebagai pusat tumpuan sukan rekreasi moden apabila sukan pickleball semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata bandar ini menempatkan antara gelanggang pickleball terbanyak di Selangor, menjadikannya lokasi strategik untuk mengembangkan potensi pelancongan sukan.
“Di Shah Alam, kita ada lebih 15 gelanggang pickleball di Padang Jawa sahaja, belum termasuk di Seksyen 16 dan Setia Alam.
"Ini antara jumlah yang tertinggi di negeri ini, dan kini menjadi tarikan utama buat peminat sukan ini,” jelas beliau menerusi program Skop terbitan Media Selangor siaran 29 September 2025.
Pickleball, sukan yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan pingpong, bukan sahaja dimainkan secara santai, malah menjadi acara kejohanan yang merancakkan suasana komuniti.
Selain itu, kehadiran pemain dari luar kawasan, termasuk pelancong domestik, menjadikan Shah Alam lokasi ideal bagi menganjurkan acara sukan berskala besar seperti yang telah dibuktikan menerusi penganjuran Shah Alam Half Marathon yang menarik lebih 4,000 penyertaan.
Pelancongan perubatan dan pendidikan lonjak ekonomi tempatan
Selain tarikan sukan, Shah Alam juga mencatat pertumbuhan dalam sektor pelancongan perubatan dan akademik yang menyumbang kepada kehadiran pelawat sepanjang tahun.
Hospital awam dan swasta yang bertaraf tinggi menjadikan bandar ini pilihan pesakit dari luar negeri untuk mendapatkan rawatan, manakala keluarga mereka pula menginap di hotel atau homestay sekitar kawasan.
“Selain tarikan pelancongan, Shah Alam juga menjadi tumpuan pesakit luar Selangor untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta di sini. Kebiasaannya ahli keluarga mereka akan menginap di hotel atau homestay sekitar," ujarnya.
Tambahnya, ketika musim konvokesyen atau pendaftaran pelajar baharu, ribuan pelawat membanjiri kawasan ini, sekali gus menyumbang kepada pendapatan sektor makanan, penginapan dan peruncitan.
"Kehadiran institusi pengajian tinggi seperti UiTM, MSU dan UNISEL turut menjadikan Shah Alam sentiasa hidup terutamanya ketika musim konvokesyen," menurut Mohd Najwan.
Syurga makanan, seni dan rekreasi di Shah Alam
Kota Anggerik juga tidak asing sebagai syurga makanan dan lokasi rekreasi gaya hidup.
Jelas Mohd Najwan, beliau sendiri sering menikmati sarapan pagi di restoran terkenal seperti Nasi Lemak Pak Ayub dan Nasi Lemak Cik Kam di Seksyen 6, atau Soto Shah Alam di Seksyen 8.
Selain itu, Restoran Serai, yang kini menjadi jenama nasional, juga bermula dari Seksyen 3 di sini.
Shah Alam turut menampilkan elemen seni dan rekreasi yang menjadikannya lokasi sesuai untuk healing.
"Taman Tasik Shah Alam menjadi tumpuan pengantin baharu dan peminat fotografi kerana berlatar belakangkan Masjid Negeri yang tersergam megah.
"Pelbagai kafe tempatan di Seksyen 6, 8 dan 13 pula menyediakan ruang santai untuk anak muda, dari Kopi Pokok ke The Coffee Dock, setiap lokasi menawarkan pengalaman yang unik," katanya.
Masjid Biru: Ikon pelancongan Selangor
Sebagai mercu tanda Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru Shah Alam bukan sahaja kebanggaan rakyat tempatan, malah menjadi ikon yang diperkenalkan kepada dunia.
“Setiap kali saya ke luar negara dan ditanya apa tarikan paling menarik di kawasan saya, saya akan tunjukkan gambar masjid ini. Mereka kagum bila tahu ia merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara,” ujar Mohd Najwan.
Di sebalik imej sebagai bandar moden, Shah Alam juga memiliki elemen warisan.
“Ramai orang fikir Shah Alam ini hanya ada pusat beli-belah moden, sedangkan Kompleks PKNS sebenarnya menawarkan barangan tradisional Melayu yang susah ditemui di tempat lain termasuk dari capal buatan tangan, tengkolok hinggalah ke sampin.
"Kalau ada jemputan majlis rasmi dan perlukan busana Melayu lengkap, semuanya boleh didapati di sini.” ujarnya.
Tahun 2025 menandakan pelaksanaan Tahun Melawat Selangor dengan tema 'Surprising Selangor' atau 'Selangor Kan Ada!' dan Shah Alam jelas memanfaatkan peluang ini untuk menampilkan potensinya.
Dengan gabungan tarikan moden, kemudahan sukan, warisan budaya, makanan pelbagai cita rasa dan akses mudah ke perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, Kota Anggerik menawarkan pakej lengkap untuk pengunjung.
“Kalau anda datang ke Selangor, jangan lupa singgah di Shah Alam. Kalau tak tahu nak ke mana, boleh tag saya di media sosial. Saya sedia beri cadangan tempat makan, lokasi healing dan hidden gem yang ramai orang tak tahu,” kata Mohd Najwan.