ad

Hampir 42,000 penduduk Gaza hidup dengan kecederaan kekal - WHO

3 Okt 2025, 2:25 PM
Hampir 42,000 penduduk Gaza hidup dengan kecederaan kekal - WHO

GENEVA, 3 OKT: Hampir 42,000 penduduk Gaza kini hidup dengan kecederaan kekal yang mengubah kehidupan akibat konflik berterusan, menurut anggaran terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikeluarkan pada Khamis.

Satu daripada empat mangsa merupakan kanak-kanak.

Dalam laporan bertajuk “Estimating Trauma Rehabilitation Needs in Gaza, September 2025 Update”, WHO menyatakan kecederaan kekal itu merangkumi satu perempat daripada keseluruhan 167,376 orang yang cedera sejak Oktober 2023.

Lebih 5,000 daripadanya telah menjalani amputasi.

Penemuan ini berdasarkan pangkalan data lebih meluas, selari dengan analisis terdahulu pertubuhan berkenaan, lapor Xinhua.

Laporan itu turut merekodkan kecederaan serius yang meluas termasuk kerosakan anggota badan, saraf tunjang, otak serta lecur teruk, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap pembedahan khusus dan perkhidmatan pemulihan.

Ramai keluarga terpaksa menanggung penderitaan jangka panjang kerana pesakit memerlukan rawatan intensif.

Kecederaan kompleks pada muka dan mata juga banyak berlaku, khususnya dalam kalangan mereka yang menunggu perubatan ke luar Gaza.

Berdasarkan data daripada 22 Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) yang disokong WHO, Kementerian Kesihatan Gaza dan rakan kerjasama lain, laporan ini memberikan gambaran paling menyeluruh mengenai keperluan pemulihan akibat kecederaan trauma.

Sementara itu, sistem kesihatan Gaza hampir lumpuh.

Hanya 14 daripada 36 hospital masih beroperasi sebahagian, manakala kurang satu pertiga fasiliti pemulihan berfungsi dengan beberapa daripadanya di ambang penutupan.

Tiada satu pun yang beroperasi sepenuhnya meskipun terdapat usaha berterusan EMT dan pertubuhan kesihatan.

Konflik berpanjangan turut menjejaskan tenaga kerja pemulihan.

Gaza sebelum ini memiliki kira-kira 1,300 ahli fisioterapi dan 400 ahli terapi carakerja, namun ramai dipindahkan. Mereka yang masih bertugas kini berdepan tekanan melampau.

"Walaupun ribuan amputasi direkodkan, wilayah itu hanya mempunyai lapan pakar prostetik untuk menghasilkan dan memasang anggota palsu.

“Pemulihan bukan sahaja penting bagi pesakit trauma tetapi juga bagi mereka yang menghidap penyakit kronik dan kecacatan, yang tidak termasuk dalam laporan ini,” kata Richard Peeperkorn, Wakil WHO di wilayah Palestin yang diduduki.

WHO bersama EMT serta rakan kesihatan terus bekerja di lapangan untuk menangani keperluan mendesak.

Namun, laporan itu menekankan bahawa peningkatan perkhidmatan pemulihan memerlukan perlindungan segera terhadap fasiliti kesihatan, akses tanpa sekatan kepada bahan api dan bekalan perubatan, serta penyingkiran halangan mengimport barangan penting seperti alat bantuan perubatan.

WHO sekali lagi mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata segera.

“Rakyat Gaza berhak mendapat keamanan, hak terhadap kesihatan dan rawatan, serta peluang untuk pulih,” menurut laporan itu.