Bukan sekadar ceramah, Hari Kesihatan Otak jadi ruang sokongan pesakit, waris

14 Mei 2026, 3:00 AM
Bukan sekadar ceramah, Hari Kesihatan Otak jadi ruang sokongan pesakit, waris
Bukan sekadar ceramah, Hari Kesihatan Otak jadi ruang sokongan pesakit, waris
Bukan sekadar ceramah, Hari Kesihatan Otak jadi ruang sokongan pesakit, waris

SHAH ALAM, 14 MEI: Keterujaan pesakit Parkinson menghadiri Hari Kesihatan Otak 2026 bersama ahli keluarga serta penyertaan waris yang pernah menjaga pesakit strok menggambarkan pentingnya sokongan berterusan dan kesedaran masyarakat terhadap penyakit neurologi.

Program anjuran Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) itu baru-baru ini turut membuka ruang kepada orang ramai memahami kepentingan rawatan awal, sokongan emosi dan penjagaan rapi bagi membantu pesakit menjalani kehidupan lebih baik.

Salah seorang peserta, Aliza Jaafar, 68, berkata program itu cukup bermakna buat dirinya yang setia menemani suami, mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib, 69, yang menghidap Parkinson sejak 2012.

Menurut Aliza, meskipun suaminya kini berkerusi roda, keinginannya untuk hadir ke program tersebut begitu tinggi sehingga mereka membuat persiapan seawal pagi bagi memastikan dapat bersama-sama memeriahkan sambutan itu.

“Beliau begitu teruja untuk menghadiri program ini sehingga kami sudah membuat persiapan seawal kira-kira jam 7.30 pagi,” katanya kepada Media Selangor.

Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib, 69, yang menghidap Parkinson sejak 2012 hadir bersama isterinya pada sambutan Hari Kesihatan Otak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras pada 12 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata penglibatan bersama Persatuan Penyakit Parkinson Malaysia (MPDA) sejak enam tahun lalu juga banyak membantu pesakit dan waris memperoleh sokongan moral selain terus bersemangat menghadapi cabaran penyakit itu.

“MPDA memang menggalakkan pesakit menyertai aktiviti kerana sokongan rakan serta penglibatan dalam program seperti ini membantu mereka kekal aktif dan tidak terus pasif,” katanya.

Menurutnya, mereka juga aktif menyertai pelbagai aktiviti terapi seni seperti kraftangan, kaligrafi, melukis, mencanting batik dan pembuatan lilin bagi membantu meningkatkan emosi serta motivasi pesakit.

“Kami memang seronok menyertai aktiviti yang dianjurkan dan jika ada lagi program seperti ini, kami pasti akan turut serta,” katanya lagi.

Dalam program sama, jururawat, Nurdiana Kamaruddin berkata ceramah berkaitan strok memberi pendedahan baharu mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera dan hospital yang menawarkan rawatan berkaitan.

Jururawat, Nurdiana Kamaruddin berkongsi pandangan ketika ditemui pada sambutan Hari Kesihatan Otak 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras pada 12 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Daripada ceramah dalam program ini saya dapat tahu mengenai hospital yang menawarkan rawatan strok,” katanya.

Beliau yang pernah melalui detik cemas apabila ibunya diserang strok berkata pengalaman itu menjadikan dirinya lebih memahami kesan penyakit berkenaan terhadap pesakit dan keluarga.

Namun, Nurdiana bersyukur apabila tindakan pantas pasukan kecemasan HCTM berjaya membantu ibunya pulih tanpa kesan serius.

“Rawatan di sini juga sangat pantas dan sekarang mak saya sudah kembali pulih,” katanya.

Seorang lagi jururawat, Zeti Azira pula berkata program tersebut memberi banyak input baharu mengenai kaitan sistem otak dengan kes kelahiran bayi tidak normal.

“Struktur telinga tidak berkembang dengan baik atau ada masalah tertentu yang membuatkan kami syak kemungkinan ada kaitan dengan otak,” katanya.

Jururawat, Zeti Azira ditemui ketika menghadiri sambutan Hari Kesihatan Otak 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras pada 12 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Tambahnya, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit dan waris, malah membantu petugas kesihatan serta pelajar meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan otak sejak awal usia.

Terdahulu, sambutan Hari Kesihatan Otak 2026 di Auditorium HCTM, Cheras itu dihadiri kira-kira 250 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk doktor, jururawat, pesakit, waris dan pelajar.

Selain ceramah kesihatan, program tersebut turut dimeriahkan dengan pameran interaktif melibatkan pelbagai disiplin seperti fisioterapi, farmasi dan psikologi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.