ad

GSF: Peguam ADALAH mulakan konsultasi untuk wakili aktivis Malaysia

3 Okt 2025, 11:09 AM
GSF: Peguam ADALAH mulakan konsultasi untuk wakili aktivis Malaysia

SEPANG, 3 OKT: Peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) telah memulakan sesi konsultasi bagi mewakili aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang kini ditahan pihak berkuasa Israel.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata barisan peguam tersebut sudah bertemu dengan semua 23 rakyat Malaysia yang terbabit.

“Semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, agensi berita antarabangsa Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan ADALAH melaporkan bahawa pihak berkuasa Israel pada Khamis telah memulakan pendengaran berhubung penahanan serta perintah pengusiran aktivis yang ditahan dalam misi GSF di Pelabuhan Ashdod.

Menurut ADALAH, proses itu dijalankan tanpa sebarang notis awal kepada peguam serta menafikan akses aktivis kepada khidmat guaman, yang merupakan pencabulan terhadap proses undang-undang dan hak asasi aktivis.

ADALAH turut mengesahkan pasukan guamannya berjaya memasuki pelabuhan tersebut untuk bertemu aktivis yang ditahan, selepas pada awalnya dihalang daripada mendapat akses oleh pihak berkuasa Israel.

Mengulas lanjut, Sani Araby berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat aktivis Malaysia yang telah melalui proses pendengaran tersebut setakat ini.

"Kita tidak dapat sahkan kerana jumlah peserta (yang ditahan) adalah 495. Pastinya ia mengambil sedikit masa untuk kita sahkan. Saya kira untuk rakyat Malaysia, bila (tiba) masanya, pihak peguam kita sudah diberikan laluan untuk menjadi wakil," katanya.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.