ad

30 tahun derita banjir tamat, warga emas Kota Kemuning terima rumah baharu

3 Okt 2025, 1:00 PM
30 tahun derita banjir tamat, warga emas Kota Kemuning terima rumah baharu
30 tahun derita banjir tamat, warga emas Kota Kemuning terima rumah baharu

KOTA KEMUNING, 3 OKT: Selepas lebih 30 tahun menetap di rumah lama yang kerap dilanda banjir, M. Mahamuny akhirnya mampu menarik nafas lega apabila menerima kunci kediaman baharu yang lebih selesa dan selamat untuk didiami bersama keluarganya.

Penyerahan kunci rumah di Seksyen 32, Bukit Kemuning itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, S. Preakas bersama Pengarah Pembangunan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Khidir Majid serta Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 14, S. Yogeswari.

Projek pembinaan rumah berkenaan merupakan usaha bersepadu pelbagai pihak. Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menyumbang sebanyak RM80,000, manakala ADN Kota Kemuning menyalurkan RM15,000 dengan sokongan tambahan daripada Pejabat Zon 14 MBSA serta penyumbang swasta.

Mahamuny berusia 73 tahun menzahirkan rasa syukur dan gembira atas pemberian tersebut yang disifatkan sebagai rahmat besar buat keluarganya.

“Rumah lama sering terjejas banjir, keadaan itu sangat membebankan. Dengan adanya rumah baharu ini, hidup kami lebih terjamin dan selamat. Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Madani, ADN Kota Kemuning dan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Preakas menegaskan perumahan bukan sekadar kemewahan, sebaliknya hak asasi setiap rakyat.

“Rumah adalah tempat berlindung, membina keluarga dan menanam harapan masa depan. Hari ini Kerajaan Negeri bersama wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat membuktikan hak ini boleh direalisasikan,” katanya.

Beliau menambah projek tersebut adalah bukti Kerajaan Negeri bukan sahaja prihatin malah menunaikan janji kepada rakyat.

“Kita sering dengar ungkapan kerajaan prihatin, tetapi projek ini menunjukkan kerajaan bukan sekadar prihatin, malah bertindak demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Projek berkenaan diluluskan pada penghujung tahun lalu dan kerja pembinaan bermula awal tahun ini sebelum siap sepenuhnya pada 30 September lalu.

Yogeswari pula menyifatkan usaha ini memberi kelegaan besar kepada Mahamuny sekeluarga yang kini dapat menjalani kehidupan lebih selesa.

Majlis penyerahan kunci tersebut bukan sahaja simbolik penyerahan sebuah rumah, tetapi juga menegaskan mesej keadilan sosial bahawa setiap rakyat berhak memiliki kediaman yang layak dan selamat.