SHAH ALAM, 2 OKT: Program Seni dan Keusahawanan Selangor 2025 (STEP2025) dijangka menjadi platform utama menghimpunkan bakat seni sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan belia, kata EXCO belia dan keusahawanan.
Mohd Najwan Halimi berkata acara yang bakal berlangsung pada 25 Oktober di Dewan Konsert Seri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dijangka menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung termasuk mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi.

“Selain Fakulti Muzik UiTM, program ini turut disertai pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Gombak dan Kolej Muzik Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media program berkenaan di Glass House Glenmarie, di sini hari ini.
Menurut Mohd Najwan, STEP2025 yang bermula 9 pagi hingga 7 malam bukan sekadar pesta seni, tetapi wahana strategik yang membuktikan seni dan muzik mampu menjadi pemangkin ekonomi kreatif.
"Program ini juga bertujuan membina daya saing usahawan muda serta mengangkat Selangor sebagai pusat bakat belia,” katanya.

Najwan menambah, STEP2025 akan diserikan dengan barisan artis tanah air termasuk legenda gitaris Man Kidal, maestro muzik Dato’ Ramli MS, Edrie Hashim, Qi Razali, kumpulan Kombat Pilgrims dan Dukes.
Selain persembahan muzik, program berkenaan juga menyediakan ruang pameran, tapak niaga, bengkel latihan, forum, perkongsian ilmu serta peluang jaringan untuk belia.
Bagi menyokong usaha itu, Mohd Najwan berkata Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Usahawan memperuntukkan RM5,000 kepada Fakulti Muzik UiTM Shah Alam bagi membantu 30 pelajar memerlukan.
“Ini bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjayakan STEP2025. Saya menyeru mahasiswa dan belia merebut peluang ini untuk memperluas ilmu, membina jaringan dan menyemarakkan aspirasi generasi muda,” katanya.